Hina kedaulatan negara makin menjadi-jadi

    KANGAR: Kira-kira 400,000 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia tidak akan memaafkan tindakan pelaku yang mencemar kesetiaan kepada raja dan negara.

    Advertisement

    Presidennya, Ismail Abidin berkata, tindakan menghina kedaulatan negara kini semakin menjadi-jadi di era Malaysia Baharu sekarang.

    Katanya, tindakan itu bermula dengan menuduh anggota tentera yang hanya makan dan tidur.

    “Kami pun hairan bilakah kesemua pelaku biadab itu akan dikenakan tindakan selepas dipanggil memberi keterangan.

    “Kami mendesak taraf kerakyatan pelaku kesemua tindakan berkenaan digugurkan,” ujarnya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar kelmarin.

    Baru-baru ini tular sebuah video klip memaparkan bendera Malaysia dengan bintang pecah lima pada acara pembukaan perlawanan bola keranjang anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA).

    Klip video yang memaparkan Jalur Gemilang dengan lima bintang bersama logo Westport itu ditayangkan semasa nyanyian lagu Negaraku.

    Ismail juga berkata, pihak yang mendakwa membawa masuk abu mendiang bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM), Chin Peng ke negara ini dianggap cuba melanggar benteng pertahanan negara. – HARAKAHDAILY 29/11/2019