Khatan Perdana bantu golongan kurang mampu

MUAR:  Program Khatan Perdana anjuran bersama Pusat Aduan Rakyat Parlimen Muar dan Majlis Guru PASTI PAS Kawasan Muar telah berjaya dilaksanakan di Pusat Komuniti PAS Parit Tarom, di sini hari ini.

Advertisement

Program rutin tahunan kali ini telah dirasmikan oleh Naib Yang Dipertua PAS Muar, Dr Mohamad Taslim melibatkan penyertaan 40 kanak-kanak.

Menurut pengarah program, Sukor Naam, tujuan diadakan khatan perdana ini adalah untuk membantu anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan di samping mengeratkan ukhuwah sesama warga Parlimen Muar.

Program turut dimeriahkan oleh semburan pancutan air dari pihak Jabatan Bomba di mana sebelum itu peserta diarak dengan iringan bunga manggar dan paluan kompang.

Proses khatan dilakukan dengan bantuan lima pegawai perubatan  bertauliah dan pimpinan PAS Muar turut hadir ialah Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua, Abd Aziz Talib dan Cheman Yusoh serta Ketua Pemuda, Ustaz Ridzuan Nazri. – HARAKAHDAILY 30/11/2019