Bimbang teroka galian nadir bumi

Foto hiasan.

WALAUPUN jaminan diberikan oleh Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Syarikat China dan Kerajaan Negeri Perak ialah hanya untuk penerokaan galian nadir bumi dan bukan untuk melombongnya, Sahabat Alam Malaysia (SAM) tetap merasa kebimbangan yang serius berhubung objektif usahasama itu.

Advertisement

Pihak kementerian telah mengeluarkan kenyataan berhubung maklum balas terhadap kebimbangan SAM berhubung MoU yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri Perak dan Syarikat China, Chinalco GXNF Rare Earth Development untuk menjalankan eksplorasi sumber nadir bumi di Perak.

Kementerian dalam kenyataannya menjelaskan bahawa “dalam konteks tandatangan MoU itu ialah untuk menggunakan kepakaran China dalam mengenal pasti potensi sumber nadir bumi di Perak terutama sekali dalam tanah liat ion-adsorption yang tidak mengandungi thorium atau uranium sebagai sisa sampingan,” dan pihak Kementerian “menyokong sebarang kerjasama daripada pihak asing jika ia positif untuk pembangunan ekonomi dan mampan serta tidak memberikan kesan kepada alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.”

Walaupun terdapat jaminan oleh pihak kementerian, kebimbangan kami tetap ada memandangkan penyelidikan awal kami terhadap pengalaman China menunjukkan bahawa terdapat kerosakan alam sekitar yang amat serius dan kos terhadap kesihatan manusia berkaitan perlombongan dan pelunturan sumber nadir bumi tanah liat ion-adsorption.

Kajian 2013 oleh enam ahli akademik universiti China terhadap kesan industri nadir bumi ion-absorption di Selatan China mendedahkan kesan alam sekitar yang merosakkan di wilayah itu. Kajian ‘China’s ion-adsorption rare-earth resources, mining consequences and preservation’ mempunyai banyak penemuan yang membimbangkan.

Dikatakan bahawa Kerajaan Pusat China pada Jun 2011, menguatkuasakan pengharaman ke atas perlombongan permukaan dan pelunturan tangki/timbunan sambil melaksanakan pelunturan in-situ bagi nadir bumi ion-adsorption.

Menurut kajian itu, “perlombongan atas gunung/permukaan bagi bijih nadir bumi ion-adsorption telah menjadi pendorong utama perubahan penggunaan tanah dan kerosakan di Selatan China, menyebabkan kehilangan kekal ekosistem, hakisan tanah yang teruk, pencemaran udara, kehilangan biodiversiti dan masalah kesihatan manusia.” Kajian itu menganggarkan bahawa kos perlombongan ini lebih banyak berbanding faedahnya, malah belum lagi mengambil kira kos kesihatan manusia dan alam sekitar.

Kajian itu seterusnya menyatakan bahawa sementara teknologi pelunturan in-situ lebih baik berhubung pembersihan tumbuhan permukaan dan penggalian, bagaimanapun, “penguatkuasaan pelunturan in-situ bagi menangani masalah alam sekitar yang dikaitkan dengan penggalian dan perlombogan nadir bumi masih diperdebatkan.”

Menurut kajian itu lagi, “amalan pelunturan in-situ juga mendedahkan masalah alam sekitar yang serius termasuk pencemaran air bawah tanah, runtuhan lombong dan tanah runtuh… Lebih daripada 100 kejadian tanah runtuh dilaporkan di wilayah Ganzhou dikaitkan dengan amalan pelunturan dan lombong in-situ, yang dengan ketara kepada kerugian dan kos terhadap manusia… Tebus guna lombong pelunturan in-situ yang tamat… boleh menjadi lebih mahal berbanding lombong/timbunan permukaan lombong pelunturan.”

Penemuan bagi kedua-dua kategori aktiviti ini (lombong permukaan/atas gunung, dan pelunturan in-situ) amat membimbangkan dan jaminan Kementerian tidak memberikan kami sebarang keselesaan .

Persoalan utama ini terus kekal: Kenapa memulakan eksplorasi untuk mengenal pasti galian nadir bumi terlebih dahulu, jika perlombongan dan pemprosesan galian ini merosakkan alam sekitar, juga dengan kos kesihatan awam dan manusia yang serius?
SAM membuat gesaan berikut terhadap pihak berkuasa:

Pertama, demi untuk ketelusan, kami menggesa pihak Kementerian dan Kerajaan Negeri Perak membuat pendedahan awam dan mendedahkan kandungan MoU. Kami ingin memahami apakah tugas yang akan dilakukan oleh Syarikat China itu; apakah kosnya; siapa yang akan membiayai usahasama ini; di manakah aktiviti ini akan dilakukan dan apakah aktiviti yang terlibat.

Kedua, kami menggesa pihak Kementerian supaya mendedahkan kepada umum dasar kerajaan berhubung pembangunan industri nadir bumi, termasuk perlindungan alam sekitar dan sosial, undang-undang dan peraturan serta mekanisma dan kemampuan pelaksanaan dan penguatkuasaan terlebih dahulu sebelum memulakan usahasama Perak ini atau sebarang usahasama selanjutnya di mana sahaja di negara ini.

Kami juga mendapati kebanyakan perkara yang berkaitan dengan alam sekitar adalah dalam bidang kuasa Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan kami tertanya-tanya jika pihak Kementerian sudah dirundingi dan kelulusan diperolehi untuk MoU ini.

Ketiga, kami menggesa KATS dan Kerajaan Negeri Perak untuk tidak meneruskan dengan pelaksanaan MoU sehingga perkara ini dijelaskan dengan secukupnya.

MEENAKSHI RAMAN
Presiden Sahabat Alam Malaysia – HARAKAHDAILY 1/12/2019