Didik MCA untuk tidak jadi seperti DAP

KEMAMAN: Pendukung PAS di semua peringkat perlu berusaha gigih mendidik MCA untuk tidak bersikap seperti parti Cauvanis DAP, demikian seru Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Hazri Jusoh berkata.

Advertisement

Katanya, jika PAS  boleh meyakinkan orang bukan-Islam untuk bersama Dewan Himpunan Pendukung PAS dan Gagasan Sejahtera, maka hal sama perlu dibuat kepada MCA.

“Proses ini perlu berlaku dengan MCA, sepertimana ia berlaku dengan DAP suatu ketika dahulu. Jika senario lama berpendapat DAP berhak mengambil pendirian untuk tidak bersetuju dengan apa sahaja yang berkait-rapat dengan Islam, kerana tiada paksaan dalam Islam. Asalkan DAP tidak menyerang atau menghina Islam.

“Walaupun kita bersungguh-sungguh cuba mendidik DAP ketika bersama dalam satu pakatan politik agar mereka tidak menyerang atau menghina Islam, akhirnya kita mengambil pendirian tegas atas prinsip-prinsip ini, demi Islam kita tinggalkan DAP dan Pakatan Rakyat,” ujar beliau.

Menurut Ustaz Hazri lagi, soal pemerintahan negara dalam realiti masyarakat majmuk melalui sistem demokrasi yang ada memerlukan Muafakat Nasional yang mengambil kira seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Junjungan Baginda Rasulullah S.A.W tidak pernah gopoh dan putus asa dalam langkah-langkah politik dan dakwahnya, (jadi) kenapa kita pula, tidak istiqamah dan bersedia untuk mencontohinya pula?” soal beliau dalam suatu hantaran di Facebook awal pagi ini. – HARAKAHDAILY 1/12/2019