Sambutan 68 tahun PAS N9 pacu semangat ke PRU15

SEREMBAN: Sambutan 68 Tahun PAS Peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Pilihan Raya dan Lajnah Penerangan Media Baru PAS Negeri Sembilan telah dilangsungkan di Kompleks PAS (KOMPAS), Kampung Ismail, di sini kelmarin.

Advertisement

Munajat PRU membuka majlis sambutan dipimpin Ketua Ulamak PAS Negeri Sembilan, Ustaz Nazri Yusof, manakala tazkirah telah disampaikan oleh Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri Sabah, Ustaz Mohd Tarmizi Yahya.

Kemuncak acara sambutan adalah ceramah umum membariskan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hassan serta Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustafa.

Tuan Ibrahim turut menyempurnakan pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan yang disimbolikkan dengan pemakaian mafla kepada Rafiei, sekali gus mengisyaratkan kesediaan PAS negeri ini menghadapi PRU15.

Kedua-dua pimpinan tertinggi PAS dan Umno tersebut juga telah meraikan sambutan tersebut dengan acara pemotongan kek ulang tahun ke-68 serta diiringi persembahan montaj khas disaksikan pimpinan MIC, MCA, KIMMA dan NGO yang hadir.

Majlis diisi Timbalan Pesiden PAS dan Umno ini juga sebagai langkah untuk kedua-dua parti di negeri ini menggerakkan aktiviti Muafakat Nasional dengan lebih giat dan meluas. – HARAKAHDAILY 1/12/2019