Amerika-Israel taja senjata untuk timbulkan konflik

FRAME Amerika Israel

(1)     Amerika dan Israel merupakan dua negara yang merupakan paksi keganasan. Melancarkan projek-projek keganasan di seluruh dunia dengan penuh tipu daya.

Setiap kali keganasan yang diprojekkan, mereka akan pastikan ia ‘dilapik’ dengan propaganda, agar menjamin survival politik kedua-dua kuasa jahat ini.

(2)     Keganasan sangat sinonim dengan persenjataan. Itu falsafahnya dan teorinya. Ia bermula dengan mencetuskan revolusi dan penggulingan.

Apabila kedua-dua ini dicetuskan, maka negara yang berkonflik, akan mula bergolak dan akhirnya membawa kepada hilangnya kerajaan. Maka, ia membuka ruang untuk dikuasai.

Keadaan huru-hara akan berubah ke suasana pergolakan sekiranya terdapat sengketa bersenjata. Ini membuka ruang kepada Amerika untuk campur tangan sebagai pengaman.

(3)     Ini adalah frame biasa kerja-kerja mereka yang boleh dikaji melalui peristiwa-peristiwa keganasan. Rata-rata peristiwa-peristiwa ini dilatari oleh militan-militan Islam yang diperkudakan.

Siapakah mereka? Merekalah kumpulan yang ditaja oleh Barat untuk memberi gambaran buruk terhadap Islam, dan mencetuskan suasana Islamophobia.

Perkara ini dilukis dan disebarkan oleh media secara konsisten bertahun-tahun, agar terbinanya tembok Islamophobia dengan kuat.

Bani Saud vs Syarif Hussein

(1)     Islamophobia mula dilukis oleh Barat dalam peristiwa 11 September 2001. Selepas daripada drama ini, bermulalah saat suasana  dunia yang takut dengan Islam.

Dalam rangkaian frame ini, kita perlu lihat bahawa Amerika khususnya memainkan peranan penting dalam mencatur politik negara-negara sasaran mereka.

Antaranya dengan membekalkan senjata. Senjata dibekalkan kepada golongan minoriti yang terprovok dengan suasana ketidakpuasan hati terhadap pemerintah.

(2)     Apabila kita meneliti sejarah pertembungan antara Syariff Hussein yang mempelopori Revolusi Agung Arab 1916 dan juga kumpulan Bani Saud, ia merupakan detik awal pendanaan senjata.

a-     Barat membekalkan senjata kepada Bani Saud untuk menguasai Tanah Haram. Dalam masa yang sama Barat juga membekalkan senjata kepada team Syariff Hussein untuk ‘menghalau’ Bani Saud.

Ini kerana Syariff Hussein diberi gambaran bahawa Bani Saud menjadi penghalang kepada penguasaan Syarif Hussein terhadap Tanah Haram yang dijanjikan oleh Barat.

b-     Manakala Bani Saud diberi gambaran berlakunya ajaran-ajaran sonsang dan bidaah di Tanah Haram. Kedua-duanya menerima senjata daripada Barat.

Lantas kedua-duanya berperang bergaduh sesama orang Arab dan sesama orang Islam. Barat bertepuk tangan melibat kebodohan Umat Islam yang mudah ditipu.

Penajaan senjata

(1)     Global Research ada menyiarkan artikel yang bertajuk U.S. ‘Military Aid’ to Al Qaeda, ISIS-Daesh tulisan Prof Michel Chossudovsky pada 10 Oktober 2019.

Tulisan-tulisan seperti ini bukanlah satu atau dua, akan tetapi sudah terlalu banyak dikaji dan didedahkan oleh penganalisis seluruh dunia. Mereka yang malas membaca pasti ketinggalan dalam bab ini.

(2)      Chossudovsky menyatakan bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya menggunakan penyeludupan senjata dan perdagangan tidak sah yang tidak terkawal.

Iaitu perdagangan senjata ringan melalui peniaga swasta, termasuk jenayah terancang, untuk menyalurkan sejumlah besar senjata dan peluru kepada pengganas di Syria.

(3)     Gabungan Amerika yang diketuai mereka sendiri menggunakan perdagangan haram menyeludup senjata ringan yang dihasilkan di Eropah Timur, Balkan, China, dan lain-lain.

Senjata-senjata ini kemudiannya diuruskan penghantarannya kepada kumpulan pemberontak di dalam Syria, termasuk ISIS-Daesh dan Al Nusra.

(4)    Team ini beroperasi dari Dataran Tinggi Golan. Bahkan IDF Israel telah menyediakan senjata, sokongan logistik kepada pemberontak Al Qaeda yang beroperasi di Syria Selatan.

Ya, umum mengetahui bagaimana beberapa bulan lepas Donald Trump mengisytiharkan bahawa Dataran Tinggi Golan termasuk dalam wilayah Israel, sedangkan ia milik Syria.

Konflik di Syria

(1)     Dalam temubual pada September 2016, dengan Koelner Stadt-Anzeiger, Komander Unit Jabhat al-Nusra Abu Al Ezz mengesahkan bahawa Amerika menghantar senjata kepada Al Nusrah melalui ‘negara ketiga’.

“Ya, Amerika menyokong pembangkang (di Syria), tetapi tidak secara langsung. Mereka menyokong negara-negara yang menyokong kami. Tetapi kita belum puas dengan sokongan ini,” Katanya dalam temubual tersebut.

Kenyataan ini berkaitan dengan penghantaran senjata oleh sekutu Amerika termasuk Arab Saudi, Israel, Qatar dan Turki. Masing-masing membekalkan senjata untuk huru-harakan Syria.

(2)     Pada 17 Mac 2017, Media RT menyiarkan kenyataan ‘Ketika Jabhat Al-Nusra dikepung, kami mempunyai pegawai dari Turki, Qatar, Arab Saudi, Israel dan Amerika di sini’.

Katanya lagi ‘Mereka adalah pakar dalam penggunaan satelit, roket, peninjauan dan kamera keselamatan termal.’ Jelas menunjukkan bahawa beberapa negara terlibat dalam konflik di Syria.

(3)     Perlu diperhatikan tentang laluan bekalan dan perdagangan haram senjata ringan yang digunakan oleh Pentagon untuk menyampaikan senjata kepada pengganas.

Ini adalah pengganas yang sama, yang dikatakan dalang di sebalik pengeboman di bandar-bandar Eropah termasuk Manchester, Brussels, Paris dan Nice.

Senjata yang dihasilkan di ‘negara ketiga’ dibeli oleh Pentagon. Kemudian ia disalurkan ke Al Qaeda dan ISIS-Daesh pengganas yang memerangi tentera kerajaan di Iraq dan Syria.

Konflik di Yaman

(1)     Pada Februari 2019, CNN melaporkan bahawa dalam konteks yang berbeza, CNN mengakui bahawa Arab Saudi dan UAE menghantar senjata buatan Amerika kepada pejuang gabungan Al Qaeda di Yaman.

Antara yang disiarkan ialah Arab Saudi dan rakan gabungannya telah memindahkan senjata buatan Amerika kepada kumpulan-kumpulan tertentu di Yaman.

Iaitu kumpulan pejuang yang berangkaian dengan al Qaeda, militan Salafi, dan puak-puak lain yang turut berperang di Yaman, yang dituduh melanggar perjanjian mereka dengan Amerika.

(2)     Laporan ini secara jelas menyalahkan proksi Amerika di Timur Tengah kerana dituduh bersalah melanggar syarat perjanjian mereka dengan Pentagon.

Amerika seolah-olah tidak bersalah membekalkan senjata tersebut. Tetapi yang dipersalahkan ialah proksi proksinya atas alasan melanggar syarat.

Ini merupakan salah satu contoh pendedahan tentang penyeludupan senjata yang menimbulkan konflik di Yaman sehingga membangkitkan kumpulan Houti.

(3)     Walau bagaimanapun kisahnya, Amerika antara pembekal utama persenjataan, kemudian terdapat urusan jual beli yang turut mendapat kerjasama Arab Saudi dan beberapa negara yang lain.

Ini yang dipanggil dengan perang proksi. Negara-negara luar akan membekalkan senjata kepada beberapa pihak, untuk menang dalam pertempuran konflik.

Keldai tunggangan

(1)     Konflik di Yaman menyaksikan bagaimana dalang sebenarnya adalah Amerika. Tetapi yang terpalit dengan jenayah ini ialah Arab Saudi. Semenangnya itulah perangai Saudi.

Arab Saudi boleh dikatakan sekutu Amerika yang paling bagus untuk dijadikan kuda tunggangan. Seolah-olah dunia menghukum bahawa konflik di Yaman adalah salah Arab Saudi.

Dari segi politiknya, Amerika telah terselamat daripada dilabel pengganas. Begitulah yang saya maksudkan dari awal tadi bahawa mereka agak cerdik menipu.

(2)     Apa yang disiarkan oleh CNN sebenarnya hanyalah berita dari satu sudut. Media ini pastinya tidak mendedahkan kerja-kerja kotor Amerika yang sebenar.

Yaman yang menjadi mangsa ketamakan Amerika itu bergolak hingga ke hari ini. Walaupun kebangkitan Houti ditaja oleh Arab Saudi, namun tidak menguntungkan.

Sudahlah Arab Saudi dipersalahkan, bahkan tiada apa-apa untung dalam konflik Yaman kerana Houti mula berpihak kepada Iran yang menjadi pesaing Amerika.

(3)     Amerika yang menjadikan Arab Saudi sebagai keldai tunggangan akhirnya merasa tercabar dengan kemenangan Iran di Yaman. Ini menjadikan laluan untuk menguasai Tanduk Afrika semakin sukar.

Apatah lagi Iran yang dikatakan berpangkalan di Yaman hasil kerjasama Houti, mula membina kedudukan yang strategik dan menguntungkan.

Kenyataan Tulsi Galbard

(1)     Dalam kenyataan baru-baru ini, calon Presiden Amerika 2020, Tulsi Gabbard mendedahkan pentadbiran Trump menyalurkan wang dan senjata kepada jihad di Syria.

Di dalam laporan tersebut, beliau menyatakan ‘CIA telah lama menyokong kumpulan yang dipanggil Fursan al Haqq, memberikan mereka gaji, senjata dan sokongan, termasuk peluru berpandu udara’.

(2)     Katanya lagi ‘Kumpulan ini bekerjasama dan berjuang bersama kumpulan gabungan al-Qaeda yang cuba menggulingkan Kerajaan Syria. Front Levant adalah satu lagi kumpulan payung pejuang Syria yang dipanggil sederhana.’

‘Sepanjang tahun lepas, Amerika Syarikat telah bekerjasama dengan Turki untuk memberikan sokongan perisikan kumpulan ini dan bentuk bantuan ketenteraan yang lain. Kumpulan ini telah bergabung dengan kumpulan cabang al-Qaeda di Syria.’

(3)     Dalam kenyataan yang lain, dalam satu dialog yang disiarkan oleh The New York Times pada 15 Oktober 2019 yang dilaporkan oleh Nick Corasaniti and Neil Vigdor.

Kata Tulsi Galbard ‘Donald Trump mempunyai darah orang Kurdi di tangannya, begitu juga ramai ahli politik di negara kita dari kedua-dua pihak yang menyokong perang ‘regime change’ yang sedang berjalan di Syria yang bermula sejak tahun 2011, termasuk juga wartawan di media arus perdana, yang telah melaporkan berita tentang perang perubahan rejim (regime change) ini’.

(4)     Ini merupakan beberapa contoh yang menggambarkan bagaimana penglibatan Amerika dalam mencatur keganasan di seluruh dunia.

Modal yang paling utama ialah penyeludupan senjata-senjata ringan. Orang-orang Arab di negara-negara yang bergolak sering tertipu dengan bekalan senjata ini.

(5)     Secara automatik mereka pun digelar pemberontak oleh media. Mereka tidak sedar senjata itu ditaja oleh pihak mana dan digunakan untuk membunuh siapa.

Masing-masing diperalat untuk menjayakan agenda Amerika. Mereka seronok dapat M16, sedangkan Amerika menggunakan senjata yang jauh lebih canggih. – HARAKAHDAILY 2/12/2019

Advertisement