Cili seludup hantui pengusaha tempatan

    KUALA LUMPUR: Cili seludup Vietnam yang sebelum ini pernah menghantui pasaran cili Malaysia kini kembali menghantui pengusaha cili tempatan dengan lambakan cili di pasaran selain menawarkan harga yang lebih murah berbanding cili tempatan.

    Advertisement

    Menurut Pengusaha Cili Fertigasi Tempatan, Sairul Nizam Mohamad Saleh, 42, lambakan cili Vietnam di pasaran sekaligus akan menyebabkan pengusaha cili tempatan mengalami kerugian.

    Menurut Sairul, harga cili di pasaran sepatutnya berada didalam lingkungan RM5 hingga RM6 perkilogram, namun kemasukan cili seludup Vietnam dengan harga RM2 perkilogram menjadikan mereka ‘hilang akal’ untuk melawan harga tersebut dengan jumlah kos pengeluaran ialah RM3.70 perkilogram.

    Situasi tersebut juga menurut Sairul, telah menyebabkan petani mengalami kerugian 60 hingga ke 70 peratus disebabkan mereka terpkasa meletakkan harga yang jauh lebih murah dari kos pengeluaran selain terdapat juga hasil yang terpaksa dibuang.

    Malah katanya, situasi begini akan menyebabkan petani tidak dapat mengularkan hasil cili yang berkualiti memandangkan petani terpaksa mengurangkan kos pengeluaran.

    Sebelum ini, kerajaan sudahpun memantau aktiviti tersebut, namun ternyata jenayah tersebut masih bolos melalui tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

    Kemasukan Cili Vietnam didalam bukan sahaja merisaukan pengusaha cili, malah sebelum ini ia turut dikesan mengandungi ‘maximum residue limit’ (MRL) yang melebihi paras yang berlebihan dimana keadan tersebut akan membahayakan kesihatan pengguna.

    Malah sebelum ini, Kementerian Kesihatan melalui pantauan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan turut menyatakan bahawa penjualannya di pasaran tempatan tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. – HARAKAHDAILY 2/12/2019