Lebih 500 pusat pemindahan banjir di Kelantan

    Mumtaz menyampaikan cenderahati kepada tokoh warga emas.

    KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menyediakan lebih 500 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri tahun ini.

    Advertisement

    Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, ianya sebagai pusat pemindahan sementara bagi mangsa banjir.

    Jelasnya, jumlah pusat berkenaan bertambah berbanding biasa sebagai persiapan awal bagi memudahkan urusan pemindahan mangsa banjir.

    Menurutnya lagi, rakyat Kelantan di semua lokasi juga perlu membuat persiapan awal sebelum menerima arahan berpindah.

    “Walaupun tempat kita tidak pernah kena banjir sebelum ini khususnya di kawasan rendah sebaiknya membuat persiapan awal.

    “Dokumen penting seperti pengenalan diri hendaklah dijaga sebaiknya agar tidak rosak akibat banjir,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Hari Warga Emas Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Negeri Kelantan di JKR 10, di sini semalam. Yang turut hadir ialah Yang Dipertua PPKM, Dato’ Abdul Hallim Hamad.

    Pada masa yang sama, beliau berkata sebaiknya warga emas atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan perlu diletakkan di tingkat bawah.

    Beliau seterusnya berkata, sekiranya banjir agak buruk berbanding biasa, peruntukkan akan ditambah berbanding jumlah asal RM300,000 setahun.

    “Bagaimanapun kita berdoa sama-sama semoga banjir di negeri kita tidak seberapa dan negeri kita selamat dari segala malapetaka dan bahaya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/12/2019