PAS Tapah hadir majlis rumah terbuka Deepavali

TAPAH: PAS Kawasan Tapah telah hadir ke Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Deepavali anjuran Ahli Parlimen Tapah Dato’ Sri M Saravanan merangkap Presiden MIC di Arena TN 50 kelmarin dulu.

Diketuai Yang DiPertua PAS Tapah, Ahmad Othman Maseri, hadir sama adalah Ketua Umno Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin dan Adun Ayer Kuning, Samsudin Abu Hassan serta rombongan.

Advertisement

Isham dalam ucapannya memberikan penghormatan kepada PAS Tapah yang hadir buat pertama kalinya dalam majlis seumpama ini anjuran parti komponen BN.

Katanya, Muafakat Nasional kini telah menjadi gelombang kebangkitan rakyat untuk mengimbangi ketirisan dan kebocoran pentadbiran Kerajaan PH yang tiada boleh disangkal lagi.

“Ini telah dibuktikan pada PRK Tanjung Piai yang lalu di mana rakyat telah menghukum PH dengan memberikan kemenangan selesa bersama majoriti undi yang lebih besar iaitu 15,086 undi.

“Rakyat telahpun mual dengan janji-janji pilihan raya yang banyak lagi belum ditunaikan antaranya penghapusan bayaran PTPTN, penurunan harga minyak RM1.50 yang masih segar dalam ingatan rakyat dan ditambah dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi,” bidasnya.

Ahmad Othman pula berkata, kehadiran PAS ini memberi erti yang amat besar kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam adalah agama sejahtera kepada semua kaum.

Jelasnya, Islam membenarkan masyarakat berbilang bangsa merasai kehidupan secara aman dan sejahtera serta menolak unsur-unsur yang memecah belahkan perpaduan yang telah terjalin.

Majlis telah disajikan dengan menu yang menyelerakan dan juga nyanyian lagu dari Orang Asal Batu 8 Jalan Pahang, tarian klasik India oleh Kumpulan Anak Orang Asal Tapah serta pemberian duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Majlis tahunan ini bertujuan untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kehidupan masyarakat berbilang bangsa agar sentiasa bersatu padu serta saling menyayangi negara tercinta daripada ancaman perpecahan pihak musuh. – HARAKAHDAILY 2/12/2019