Pemerintahan PH penuh kelam dan suram

PARIT BUNTAR: PH merupakan pakatan yang terbentuk daripada penipuan, bahkan memenangi pilihan raya daripada dakyah penipuan disebarkan, demikian bidas mantan Adun Titi Serong, Ustaz Abu Bakar Husin.

Advertisement

Beliau mengemukakan fitnah RM90 juta yang kononnya diterima Presiden PAS hingga ia ditelan oleh para pengundi kerana mempercayainya, namun hingga hari ini PH gagal membuktikan tuduhan itu.

Beliau membuka kesedaran hadirin terhadap PH ketika Ceramah Muafakat Nasional Parlimen Parit Buntar anjuran bersama Pemuda dan Wanita Umno Bahagian serta PAS Kawasan Parit Buntar di Pejabat Umno Cawangan Parit Tok Ngah, di sini kelmarin.

Tempelaknya, PH juga telah menafsirkan Rahmatan Lil ‘Alamin secara salah yakni tidak sebagaimana hujan yang turun kepada semua dari Allah di mana berlaku banyak ragam DAP terhadap Islam hingga melukakan hati Muslim.

Rakyat juga serunya, perlu melihat tindak-tanduk sesama parti dalam PH yang saling tidak sehaluan, bahkan tiada perubahan dari segi pembangunan baik berskala kecil mahupun besar antaranya melibatkan keperluan penduduk.

Sementara itu, Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Noran Zamani Jamaludin selaku penceramah jemputan mempersoalkan tujuan abu mayat Chin Peng dibawa pulang yang dilihat antara usaha mengubah fakta sejarah. – HARAKAHDAILY 2/12/2019