Buat julung kalinya Harakah dijemput ke PAU



KUALA LUMPUR: Demi semangat Muafakat Nasional, buat julung kalinya lidah rasmi PAS, Harakah menerima undangan liputan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 yang akan berlangsung di PWTC mulai 4 sehingga 7 Disember ini.

Mewakili Harakah, Shahir Abu Hassan hadir menerima penyerahan tag media PAU 2019 yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Umno, Dato’ Dr Shamsul Anuar Nasarah, hari ini di PWTC.

Menurut Shamsul Anuar, media dan rakyat pelbagai lapisan dibenarkan mengikuti perbahasan semua peringkat Umno yang akan disiarkan secara langsung di media rasmi Umno Online.

Katanya Umno berani membawa kelainan dengan menonjolkan keterbukaan dalam PAU kali ini membuktikan parti itu bersungguh-sungguh mendepani penilaian rakyat yang semakin bijak menilai baik dan buruk.

“Ini menunjukkan bahawa Umno walaupun diserang hebat dan kita hilang kuasa pada 2018 namun parti ini tetap kukuh malah dalam tempoh mutakhir ini kita mendapat permintaan begitu ramai sekali terutama sekali di kalangan generasi muda untuk menyertai parti ini.

“Malah mengembalikan semula semangat penubuhan Umno pada 1946 yang disokong kukuh oleh pelbagai pertubuhan NGO dalam negara ini,

“Semangat yang sama akan ditonjolkan dalam perhimpunan kali ini yang agak berbeza di mana kita akan dapat lihat berbagai pertubuhan sukarela yang ada dalam negara ini terutama sekali daripada generasi muda akan terlibat dalam himpunan kali ini.

Tambahnya ini juga menggambarkan bahawa selain daripada rakyat yang terlibat secara langsung dalam politik di negara ini, Umno juga akan membawa pelbagai isu dalam perhimpunan kali ini.

Daripada 50 program PAU yang dijadualkan akan berlangsung salah satu program menarik ialah Wacana Umno Sebuah Perjuangan yang akan berlangsung pada 8 Disember ini.

Advertisement

Jelasnya dalam program tersebut buat pertama kalinya, Umno akan menandatangani MOU untuk penulisan ensiklopedia Umno.

“Dalam majlis berkenaan untuk kali pertamanya kita akan menandatangani MOU untuk penulisan Ensiklopedia Umno, maknanya bermula daripada akhir tahun ini, Penerangan Umno Malaysia akan dokumenkan dalam bentuk Ensiklopedia sejarah perjuangan Umno.

“Daripada asalnya sehingga ke hari ini dan kita akan masukkan semua perkara-perkara termasuklah apa yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana hampir kebanyakan polisi dan dasar kerajaan ideanya datang daripada perhimpunan Umno.

“Umpamanya bagaimana Tabung Haji diwujudkan ideanya datang daripada perhimpunan ini, bagaimana polisi baru dasar ekonomi banyak dibincangkan dalam perhimpunan Umno diterjemahkan sebagai dasar kerajaan,” katanya merasmikan penyerahan tag media di sini hari ini.

Perhimpunan Agung Umno 2019 yang akan berkampung selama tiga hari di PWTC dijangka akan dihadiri lebih kurang 5600 perwakilan daripada seluruh negara malah bakal dikunjungi 20,000 orang pengunjung dan melibatkan 50 acara. – HARAKAHDAILY 3/12/2019