Dialog antara agama harus dijadikan ‘trend’

KUALA LUMPUR: Budaya berdialog tentang keagamaan khususnya melibatkan wakil agama yang diamalkan di negara ini telah menjadi satu ‘trend‘.

Selain bertukar pandangan dan pendapat ia melahirkan budaya menghormati kepercayaan agama lain dan menyemai kefahaman perbezaan kepelbagaian anutan agama yang diraikan sekali gus menepis sifat perkauman.

Lajnah Dakwah PAS Pusat dan juga Lajnah Hubungan Antara Agama dipengerusikan oleh Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz sekali lagi menyahut cabaran ini menganjurkan wacana dialog keagamaan.

Program yang berjaya berlangsung di Hotel EDC di sini semalam, mengundang tetamu khas tokoh agamawan, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Archibishop Kristian Katholik, Julian Leow Beng Kim.

Wacana dialog secara tertutup ini membahaskan pelbagai isu melingkari antara agama dan meraikan perbezaan pendapat antara fahaman dan pegangan agama masing-masing.

Advertisement
Bertukar cenderahati, Presiden PAS menghadiahkan buku tulisan beliau Bicara ini demi Perpaduan kepada peserta penganut Kristian.

Menurut Muhammad Abduh, pertemuan wacana dialog antara PAS bersama Kristian Katholik telah beberapa kali diadakan.

Ujarnya program pada kali ini merupakan kali ketiga pertemuannya dengan Julian Leow malah pertemuan kali ini dirancang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Selepas daripada pertemuan demi pertemuan setiap kali itulah kita dapat rasakan masing-masing mengimpikan pertemuan yang lebih besar dan lebih baik diadakan.

“Hari ini dengan izin Allah pada hari ini kita dapat anjurkan program ini lain daripada yang lain, (iaitu) majlis ini dihadiri oleh Presiden PAS dan dihadiri oleh Ketua Uskup Agung Kristian, menggambarkan kita telah sampai satu puncak tinggi (iaitu) majlis dialog antara agama.

“Dialog ini penting kerana ia akan membuka kepada kefahaman dan juga rasa rapat antara kita melalui kefahaman apa itu Kristian dan apa itu Islam,” katanya mempengerusikan Majlis Hi-Tea dan dialog Ketua Kristian Katholik dan pimpinan PAS.

Tambahnya pertemuan ini cukup bersejarah kepada penganut Kristian dan penganut agama Islam yang diwakili oleh individu agamawan yang berpengaruh di negara ini. – HARAKAHDAILY 3/12/2019