Khatan: Beberapa nasihat untuk diikuti

Kanak-kanak yang menyertai majlis berkhatan di Kota Damansara.

APABILA masuk sahaja musim cuti persekolahan, tok mudim sibuk dengan berkhatan. Serata tempat dalam negara menganjurkan majlis yang menjadi nostalgia kepada setiap mereka. Pelbagai gelagat anak-anak boleh diperhatikan. Ada yang bersemangat, ada yang takut, ada yang tenang, dan ada yang lari supaya tidak dipotong. Namun majoriti mereka melalui zaman ini dengan penuh warna-warni kehidupan tanpa sebarang masalah.

Advertisement

Pun begitu, beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh ibu bapa agar kenangan manis anak-anak yang masuk khatan tidak bertukar tragedi yang akan diingati sepanjang hidup mereka. Terdapat beberapa pantang larang yang menjadi titik penentu kepada anak-anak itu sama ada selamat berkhatan atau mengalami komplikasi khatan yang tidak diingini.

Pertama, pemilihan tok mudim amat penting. Zaman semakin moden dan alat semakin canggih, masyarakat sudah berubah ke mudim yang lebih berkelulusan seperti doktor atau penolong pegawai perubatan. Bukan kita hendak menidakkan kemahiran dan pengalaman mudim tradisional, tetapi kaedah dan tempoh kesembuhan hasil dari tangan mereka agak kurang kemasan. Kaedah yang digunakan tidak mengambil kira soal kebersihan dan luka tidak dijahit sepatutnya. Menjadikan komplikasi berpanjangan kepada anak-anak yang dikhatankan. Tambahan pula, jika mereka menggunakan kaedah potong tradisional seperti memotong kepala belut, risiko terpotong kepala kemaluan amat tinggi. Anak yang dikhatankan akan merana sepanjang hidup. Kaedah moden juga boleh berlaku sedemikian jika tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan, tambahan pula jika dilakukan oleh mudim yang kurang berpengalaman.

Berdarah selepas khatan adalah salah satu komplikasi yang mungkin akan timbul. Ianya bergantung kepada kepandaian mudim, kaedah yang digunakan dan penjagaan pantang larang lepas berkhatan. Jika anak anda berlaku perdarahan, jangan terus panik. Bawa segera ke klinik untuk dirawat dengan sebaiknya. Buat aduan masalah itu kepada perawat anda, bukannya mengadu di ‘muka-buku’.

Perdarahan biasanya berlaku dari kawasan bawah kepala kemaluan, terdapat salur darah yang mudah terdedah dan berlaku perdarahan di kawasan itu jika mudim tidak berhati-hati. Perdarahan dari salur darah kawasan lain juga boleh berlaku. Oleh itu, kepakaran mudim menghentikan perdarahan dari salur darah amat penting. Jika tidak dijahit kemas, perdarahan akan berpanjangan. Trauma mental dan fizikal terhadap anak yang dikhatankan boleh berlaku. Ini kerana pihak perubatan terpaksa menjahit semula perdarahan itu. Sudah tentu sakit mengadakan jahitan kedua tidak dapat dielakkan.

Kesan bius yang diberikan dan proses berkhatan boleh menyebabkan kemaluan bengkak bagi sesetengah anak-anak berkhatan. Bengkak ini tidak perlu bimbang, ianya akan surut dalam tempoh seminggu. Cuma, jika berlaku bengkak kemaluan disertai dengan kulit bertukar warna biru kehitaman, sila bawa segera bertemu doktor untuk pemeriksaan dan rawatan. Sekali lagi jangan kongsi di media sosial, jaga rahsia kemaluan anak anda!

Biasanya kawasan jahitan tidak perlu dibalut dengan kain pembalut luka kecuali berlaku perdarahan yang sedikit. Jika terdapat pembalut, ia boleh dibuka keesokan harinya atau hari kedua. Jangan dibiarkan lama kain pembalut lekat di situ kerana risiko jangkitan kuman boleh berlaku. Kain pembalut yang lama melekat, amat menyeksa anak-anak itu semasa proses menyahlekatan (tak tahu nak letak ayat sesuai)

Beberapa nasihat ini penting untuk diikuti:

  • Cuci luka jahitan dua kali sehari dengan air suam atau cecair yang dibekalkan oleh pihak mudim.
  • Makan ubat yang dibekalkan ikut arahan yang diberikan oleh mudim.
  • Seminggu pertama sebaiknya mandi tanpa membasahkan air atas kemaluan. Tetapi kemaluan perlu senantiasa bersih. Di samping senantiasa luka dicuci, setiap kali kencing, dikehendaki menyiram ‘burung’ itu dengan air bersih bagi mengelakkan jangkitan kuman.
  • Selepas minggu pertama, jika luka tiada masalah dan perlekapan luka sudah sembuh, bolehlah memandi sekali ‘burung’ itu. Kebersihan badan dan kemaluan amat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman di kawasan luka.
  • Jangan mandi berendam dalam kolam atau parit tali air pada satu tempoh kurang daripada enam minggu. Penyembuhan luka akan sempurna sepenuhnya dalam tempoh minggu.
  • Makan makanan berzat. Jangan pantang bab makan sebab makanan berkhasiat terutama protein penting bagi mempercepatkan proses penyembuhan. Pantang makan ayam atau telur adalah mitos. Kesian anak-anak jika hanya dihidangkan dengan ikan kering atau ikan termenung bakar sahaja. Walau bagaimanapun ikan bakar pun banyak protein. Maksud di sini jangan terlalu ketat dalam memilih makanan.
  • Dalam tempoh lima hingga enam minggu, tidak digalakkan memakai pakai seluar yang telalu ketat atau sendat kerana ianya akan menghalang proses healing. Begitu juga tidak digalakkan menjalankan aktiviti lasak terutama sukan yang terlibat terus di kawasan kemaluan seperti menunggang basikal atau naik kuda bermain polo. Dibimbangi luka boleh berdarah kembali.

Sekian nasihat daripada tok mudim berpengalaman.

fb.com/Suhazeli.abdullah – HARAKAHDAILY 3/12/2019