Presiden PAS tokoh pendamai Dunia Islam

TAMBUN: Perpaduan Ummah bukan sahaja menjadi agenda negara pada masa ini yang dipelopori PAS dan Umno, tetapi sedang berlaku di seluruh dunia Islam khususnya termasuk Tanah Arab, demikian menurut Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang katanya, merupakan seorang tokoh disegani dan sering dirujuk atau dipanggil bagi membantu mendamaikan pihak-pihak tertentu antaranya di Yaman, Palestin, Iran, Turki dan sebagainya.

Ianya diceritakan Syahir ketika menyampaikan perkongsian ilmu dalam program Ijtimak Khas PAS Tambun di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Tambun, Taman Meru di sini malam kelmarin dahulu.

“Qudwah yang baik di medan dakwah yang ditunjukkan Tuan Guru Presiden adalah berasaskan ilmu dan pengalaman luasnya, menjadikan beliau tokoh pendamai dunia Islam kini.

“Asas yang sering menjadi prinsip keputusan Tuan Guru adalah melalui perundingan dengan memastikan pendekatan dan strategi diambil tidak akan merugikan Islam,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, ilmu dan pengetahuan Tuan Guru Presiden sangat luas dan sentiasa ‘up-to-date’ kerana beliau sangat suka membaca dan menulis khususnya berkaitan isu semasa dunia melibatkan negara-negara Islam.

Syahir turut berkongsi mengenai kebiasaan waktu Tuan Guru Presiden menulis adalah ketika bangun malam bertahajjud, malah mendidik semua orang Islam untuk memanfaatkan ruang masa berkualiti untuk Allah S.W.T.

Menjawab soalan peserta pada majlis itu berkaitan pendirian Ahli Parlimen PAS yang berkecuali ketika undian Belanjawan, katanya itu adalah perkara biasa dan PAS konsisten setiap tahun kerana di dalamnya ada perkara dipersetujui dan tidak bersetuju.

Sebaliknya menurut beliau, isu dalam Parlimen baru-baru ini adalah ramai di kalangan Ahli Parlimen Kerajaan tidak hadir dalam pengundian yang sepatutnya memberi sokongan, malah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga tiada ketika itu.

Turut hadir dalam program tersebut Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri dan Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said dan pimpinan utama PAS Tambun. – HARAKAHDAILY 3/12/2019