PROTAPAS medan tarbiyah anak PAS Tambun

TAMBUN: Jabatan Pembangunan Remaja Pemuda PAS Kawasan Tambun dengan kerjasama Ameerah Tambun telah mengadakan Program Tarbiyah Anak Ahli PAS (PROTAPAS) di Maahad Muhammadiah, Ulu Kuang, di sini Jumaat lalu dan dan berakhir kelmarin.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Salleh Said dalam perasmiannya menyebut bahawa, anak-anak ahli PAS adalah permata yang menjadi milik perjuangan dan mereka memang selayaknya mengikuti program PROTAPAS.

“Kita sedang berusaha membina pelbagai usaha untuk memastikan bahawa kita tidak akan ketandusan pelapis di masa hadapan, dan anak-anak di hadapan ini telah pun memulakan langkah sebagai pengganti tampuk perjuangan pada masa hadapan,” sambung beliau.

Tambahnya lagi, PAS pada hari ini sudah sinonim dengan agenda yang membantu membentuk anak-anak menjadi orang berjaya, antaranya mempunyai PASTI, SRITI, SMITI dan termasuklah program-program seperti ini yang membentuk kerohanian.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri menyatakan bahawa sejarah PROTAPAS ini bermula daripada Tambun ketika sesi perbincangan untuk membuat program yang khusus buat anak ahli PAS bagi memahami mengenai perjuangan.

“Kalau kita lihat program anak-anak yang kebiasaan sudah banyak dari konsultan-konsultan tapi ketika itu kita melihat mesti ada satu cara yang perlu kita buat untuk membentuk generasi pelapis perjuangan, lalu PROTAPAS diwujudkan untuk alternatif anak-anak.

“Jika ada yang bertanya apa rahsia PAS menyusun dan membentuk pelapis kepimpinan akan datang, antara jawapan yang dapat saya berikan pastikan program tarbiyah anak-anak ahli PAS berjalan dengan baik dan bersistematik,” ujarnya.

Beliau menyatakan, amilin PAS yang terlibat secara langsung dengan jemaah PAS di peringkat Cawangan, Kawasan dan mana peringkat sekalipun hendaklah memastikan anak-anak ahli juga didedahkan dengan program jemaah.

Program yang berjaya mengumpulkan seramai 44 peserta terdiri dari umur lingkungan 13 hingga 19 tahun ini telah diisi antaranya berkenaan asas ilmu Akidah, Ibadah, Sirah dan Akhlak, selain slot team building, brainstorming dan muhasabah.

Turut hadir pada majlis penutup adalah Timbalan Ketua Muslimat PAS Kawasan Tambun, Noor Carmila Nan. – HARAKAHDAILY 3/12/2019