RS anjur Golf Amal sebelum PAU 2019

    PUTRAJAYA: Kumpulan Rangkaian Sahabat (RS) akan menganjurkan kejohanan RS Golf Amal 2019 bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada ahli-ahli kumpulan tersebut yang memerlukan.

    Advertisement

    Presidennya, Dato’ Yahaya Mat Ghani berkata, kejohanan Golf ini merupakan aktiviti tahunan kumpulan tersebut bersempena Perhimpunan Agung Umno.

    Namun kelainan kejohanan tahun ini, selain bermain golf, akan diadakan kutipan sumbangan daripada para peserta untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

    “Kali ini diadakan bukan untuk berseronok main golf sahaja, kali ini ini kita akan memberi sumbangan kepada rakan-rakan kita yang ditimpa bencana dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Conezion, IOI City, di sini hari ini.

    Menurutnya, kejohanan itu akan disertai oleh wakil-wakil dari 11 negeri dengan 8 orang peserta perlu dihantar oleh setiap negeri.

    “Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan daripada negeri-negeri,” ujarnya.

    Selain untuk menyampaikan sumbangan, Yahaya berkata kejohanan itu diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara peserta dari setiap negeri dengan pimpinan tertinggi Umno.

    Sementara itu, menurut Setiausaha kejohanan tersebut, Saiful Yazam Sulaiman berkata antara penerima sumbangan tersebut iaitu ahli keluarga Almarhum Mejar Mohd Zahir Armaya anak kepada pelakon, AR Badul.

    “Seterusnya akan beri sumbangan kepada dua rakan kami yang aktif memimpin di peringkat bahagian, satunya bekas Ketua Puteri (Umno) Negeri Sembilan yang telah meninggal dunia. Seorang lagi bekas kepimpinan pemuda bahagian Kuala Lumpur,” ujarnya.

    Program tersebut akan turut dihadiri Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

    Kejohanan tersebut akan diadakan pada 4 Disember (esok) bertempat di IOI Golf Resort Palm Garden.