Banjir Kelantan dan otak sempit

BANJIR dan pembalakan dikait secara terus di Kelantan. Jika banjir, mesti sebab balak, jika tebang balak, mesti banjir. Semudah itu, ‘kaedah sifir otak sempit’ mereka yang suka mencari salah Kerajaan Negeri Kelantan.

Sejak Bah Kuning 2014, mereka meratib bahawa banjir besar itu disebabkan oleh pembalakan. Dan didendangkan lagu serta irama ‘Membalak Bersama Ulamak’ bersama puluhan lagi cacian dan cercaan yang tiada fakta.

Sehinggalah pada 4-6 April 2016, Kementerian Pengajian Tinggi dan Centre For Environmental Sustainability & Water Security (IPASA) Universiti Teknologi Malaysia, UTM telah menganjurkan Persidangan Kajian Bencana Banjir 2014 dan membentangkan beberapa dapatan utama kepada umum akan sebab dan punca berlakunya banjir besar tersebut.

Faktor hujan lebat luar biasa

Pasukan penyelidik menyebut bahawa banjir besar 2014 adalah disebabkan taburan hujan yang amat tinggi pada waktu tersebut. Hujan lebat di Gunung Gagau iaitu gunung yang berada di sempadan antara Negeri Kelantan, Pahang dan Terengganu, adalah penyumbang utama kepada berlakunya Bah Kuning 2014. Catatan jumlah air hujan pada penghujung tahun 2014 di gunung ini adalah seperti berikut;

15 Disember – 118mm
16 Disember – 227mm
17 Disember – 134mm
18 Disember – 74mm
19 Disember – 40mm
20 Disember – 34mm
21 Disember – 236mm
22 Disember – 479mm
23 Disember – 507mm
24 Disember – 137mm

Ini membawa kepada jumlah air hujan yang dicatatkan sepanjang sepuluh (10) hari ini adalah sebanyak 1986mm dan selalunya jumlah ini bersamaan dengan taburan hujan untuk jangka masa enam bulan. Bermakna jumlah air hujan yang sepatutnya turun dalam jangka masa setengah tahun (6 bulan) telah turun dalam masa sepuluh hari sahaja.

Ini baru di Gunung Gagau sahaja, sedangkan Kelantan memiliki puluhan banjaran gunung besar dan utama serta ratusan sungai yang juga berskala besar di hulu negeri.

Ini diburukkan lagi dengan hujan lebat luar biasa yang turut mencurah di Gua Musang. Hujan berterusan yang turun selama tiga hari berturut-turut (21-23 Disember 2014) di Gua Musang telah mencatatkan taburan hujan tertinggi iaitu 1,295 mm yang bersamaan dengan taburan hujan bagi 64 hari. Semua air ini turun ke Kuala Krai melalui Sg Galas dan bergabung dengan air besar yang turun daripada Sg Lebir. Maka terbentuklah ‘takungan’ besar di daerah bencana ini.

Faktor-faktor alam seperti bulan berada pada kedudukan Perigee iaitu titik di orbit bulan atau satelit di mana ia paling dekat dengan bumi yang terjadi pada 25 Disember 2014 dan fasa Bulan Baru (New Moon) pada 22 Disember 2014 yang berlaku dalam selang masa hanya 2 hari ini menyebabkan terjadinya Perigean Spring Tide. Ini ‘menyempurnakan’ lagi syarat berlakunya bah besar 2014.

Setelah hasil dan pandangan daripada pakar ini disampaikan kepada masyarakat umum, maka puak yang gemar membuat tohmahan kepada Kerajaan Negeri akhirnya senyap. Namun kini mereka kembali berkokok dengan menyabitkan banjir 2019 juga dengan pembalakan.

Sejarah banjir besar negara

Kerajaan Malaysia pernah mengumumkan darurat apabila bah besar melanda pada Januari 1971. Banjir ini adalah hasil daripada hujan lebat, yang melanda Klang, Batu dan sungai-sungai sekitar Gombak. Seramai 32 orang terbunuh dan 180,000 orang terjejas sehinggakan YAB Perdana Menteri Tun Abdul Razak terpaksa mengisytiharkan keadaan bencana negara di Barat Malaysia.

Dan dalam sejarah moden selepas itu, beberapa lagi kejadian bah besar telah berlaku dalam negara. Antaranya;

Januari 1971 – Banjir Besar Kuala Lumpur, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Selangor

Jun 2003 – Banjir kilat yang paling teruk melanda Kuala Lumpur

2 Mac 2006 – Shah Alam dilanda banjir.

19 Disember 2006 – Beberapa tempat di Negeri Johor termasuk Muar, Johor Bahru, Kota Tinggi, Skudai dan Segamat.

10 Januari 2007 – Beberapa tempat di Johor dilanda oleh banjir sekali lagi.

10 Jun 2007 – Kuala Lumpur dilanda banjir kilat, paling teruk sejak 10 Jun 2003.

Disember 2007 – Beberapa bahagian di Pantai Timur Semenanjung termasuk Kelantan, Pahang, Terengganu dan Johor dilanda banjir kilat.

November 2010 – Kedah dan Perlis dilanda banjir akibat hujan lebat selepas tekanan tropika.

4 Disember 2013 – Kuantan lumpuh akibat banjir besar. Kemaman banjir terburuk dalam sejarah

Disember 2014 – Negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang dilanda banjir besar.

Johor sebagai fokusnya, dengan banjir yang amat besar pada bulan Disember 2006, telah dikaitkan dengan Kesan Gore yang merujuk kepada perubahan cuaca yang tidak menentu sehingga menyebabkan jumlah hujan yang diterima di Johor Bahru misalnya sebanyak 289mm pada tarikh 19 Disember sahaja sedangkan purata hujan sepanjang tahun adalah 2400mm. Namun ada juga yang mengaitkannya dengan Taufan Utor sehingga membawa taburan hujan yang amat luar biasa.

Mudahnya mencari salah Kerajaan Negeri

Melihat kepada siri-siri banjir besar yang pernah melanda negara, di kesemua lokasi dan negeri lain, kaitan antara ‘balak dan banjir’ nampaknya tidak timbul berbanding banjir di Kelantan yang secara mudah sahaja para ‘penganalisis mee segera’ mengaitkannya dengan aktiviti pembalakan.

Seakan-akan tiada hujah lain, mereka tetap dengan fikiran lapuk, otak sempit mengatakan bahawa banjir Kelantan adalah disebabkan pembalakan.

Di Chuchoh Puteri misalnya apabila tular mengenai banjir arus deras yang melanda beberapa hari lepas, ramai yang mengaitkannya (pembalakan) sebagai faktor utama kejadian. Akhbar Sinar Harian dilaporkan memetik kenyataan penduduk yang mendakwa banjir luar kebiasaan yang melanda kawasan kampung mereka adalah akibat tiada sistem tadahan air semulajadi. Sejauh mana kebenarannya apabila pengguna alam maya menularkan berita mengenai ‘bukit pecah’ ini?

Berita ini segera dinafikan oleh pihak berkuasa. Kejadian banjir yang berlaku di Kampung Chuchuh Puteri telah disahkan bukan disebabkan bukit pecah sebagaimana yang didakwa penduduk, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan. Ia hanyalah fenomena ‘kepala air’, berikutan hujan lebat berterusan di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lepas dan telah menyebabkan berlakunya pengumpulan air di kawasan tinggi. Ia kemudiannya mengalir secara mendadak ke kawasan rendah dan membadai kampung berkenaan.

Jawapan pihak berkuasa ini jelas dan terang. Namun bagi kumpulan otak sempit, mereka terus mengatakan bahawa banjir ini adalah disebabkan ‘pembalakan’.

Mencari yang salah, tidak melihat kebaikan

Salah satu lagi perangai puak sempit otak adalah mereka suka melihat kepada perkara yang terpencil. Lawatan kerja pimpinan Kerajaan Negeri bersama-sama dengan pegawai-pegawai kerajaan ke luar negara mulai dipermainkan dan dijadikan bahan lelucon mereka.

Dikatakan kononnya pimpinan sedang seronok bercuti dan bermain salji sedangkan rakyat dilanda banjir. Ini juga adalah manifestasi betapa sempitnya otak puak pembenci kepada Kerajaan Negeri.

Sedangkan dalam masa yang sama, YAB Dato’ Menteri Besar sendiri dengan diiringi oleh ramai anggota Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil rakyat setempat telah turun melawat dan menyampaikan sumbangan segera bagi pihak yang terjejas selain mengarahkan semua agensi dan badan-badan kerajaan agar bertindak pro-aktif membantu semua mangsa yang terlibat. Ini semua kebaikan-kebaikan dan tindakan pantas yang telah dilakukan oleh pihak pimpinan Kerajaan Negeri namun puak ‘otak sempit’ tetap buta mata dalam menilainya.

Mungkin mereka berfikir, apabila masuk sahaja musim Monsun (November hingga Mac setiap tahun), maka semua gerak kerja dan aktiviti Kerajaan Negeri harus dihentikan dan semua pimpinan harus menanti kehadiran air bah? Begitukah kaedah otak sempit kalian berfungsi?

NAZMAN CHE IBERAHIM – HARAKAHDAILY 4/12/2019

Advertisement