Exco ketuai ‘Gonyoh Gaha’ di Chuchuh Puteri

    Dr Izani, wakil-wakil rakyat, agensi kerajaan serta NGO menyertai gotong royong membersih rumah penduduk.

    KUALA KRAI: Anggota Exco kerajaan negeri Dr Izani Husin mengetuai ‘Skuad Gonyoh Gaha’ membersihkan rumah penduduk yang ditenggelami banjir di Kampung Chuchuh Puteri hari ini.

    Advertisement

    Operasi pembersihan menggabungkan agensi-agensi kerajaan dan beberapa NGO dari seluruh Kelantan. Turut hadir Khidmat Malaysia dari Pulau Pinang.

    Presiden Misi Kembara Dakwah (MKD) Ustaz Khalid Mat Zari berkata, lebih 100 sukarelawan daripada NGO dan agensi kerajaan menyertai gotong royong tersebut.

    “Program Gonyoh Gaha diadakan dua hari bermula pagi tadi dan akan disambung lagi esok bagi membersih kesan-kesan lumpur di rumah penduduk.

    “Penduduk di Kampung Chuchuh Puteri terkesan dengan banjir yang melanda Ahad lepas kerana ia datang secara tiba-tiba sehingga mereka gagal menyelamatkan harta benda,” katanya di sini.

    Hadir sama ahli parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, Adun Manek Uraim Mohd Fauzi Abdullah dan Adun Guchilm Hilmi Abdullah.

    Gotong royong itu turut disertai Task Force (Bencana) Kuala Krai, Jabatan Amal Kuala Krai, Amal Gua Musang, Generasi Al Falah Kuala Krai dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

    Selain itu, Majlis Daerah Kuala Krai, Majlis Daerah Dabong, JPAM, PDRM, ATM, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), JKR, JPS, JKM dan agensi-agensi kerajaan negeri serta persekutuan.

    Gotong royong juga melibatkan mangsa banjir di Kampung Lata Pauh, Kampung Slow Machang dan Sungai Sok. – HARAKAHDAILY 4/12/2019