Harungi banjir agih bantuan

    Adanan memikul beras untuk diagih kepada penduduk terbabit banjir.

    TUMPAT: Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hasan mengharungi banjir bagi mengagihkan bantuan keperluan harian kepada penduduk yang terbabit dengan bah.

    Advertisement

    Beliau bersama petugas Majlis Tindakan Dun Kelaboran memikul beras dan keperluan lain disampaikan kepada penduduk yang tidak berpindah dari rumah ke rumah.

    Adanan berkata, di Dun terbabit hanya dibuka dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan seramai 779 mangsa banjir.

    Katanya, PPS tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 1 menampung seramai 347 mangsa daripada 126 keluarga.

    Selain itu, Sekolah Kebangsaan Tumpat 2 pula menempatkan 432 mangsa banjir daripada 121 keluarga.

    “Alhamdulillah kita bersyukur memandangkan jumlah mangsa banjir tidak besar dan keadaan banjir juga tidak membimbangkan.

    “Bagaimanapun orang ramai perlu membuat persediaan awal dan sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya di sini.

    Di PPS tersebut, beliau menyantuni seorang warga emas Ali Hassan, 90 dari Kampung Bendang Gelang. – HARAKAHDAILY 4/12/2019