Kesiapsiagaan pertahanan negara perlu jaminan

KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Pertahanan menerima 12 dron pesawat tanpa pemandu ScanEagle (UAV) dari Amerika Syarikat disifatkan bertentangan dengan konsep Malaysia sebagai antara negara Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Advertisement

Ahmad Amzad Hashim (PAS – Kuala Terengganu) menyuarakan kebimbangan berkaitan isu tersebut ketika bangun membahaskan Kertas Putih Pertahanan yang dibentangkan pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini kelmarin.

Menurut beliau, terdapat maklumat yang menyatakan bahawa dron tersebut boleh dipintas kawal oleh Amerika Syarikat, bahkan juga ianya dapat digunakan oleh pihak negara tersebut untuk membuat sasaran di sebalik pemanduan oleh pihak Malaysia.

“Kalau betul keadaan macam ini, kita akan dilihat menjadi peranti perkakasan kepada kuasa besar yang sudah tentu bertentangan konsep ZOPFAN kita nyatakan.

“Adalah penting untuk Malaysia mengekalkan pendirian ini supaya kita tidak dilihat menjadi blok mana-mana kuasa besar,” tegasnya menggesa negara berhati-hati dan tidak tersasar dari ZOPFAN yang telah digagaskan Tun Abdul Razak sejak 48 tahun lalu itu.

Dalam perbahasan itu, Amzad juga menyifatkan kandungan Kertas Putih tersebut tidak banyak perkara baharu di mana sebahagiannya telah ada dalam Dasar Pertahanan Negara Tahun 2010 dan Dasar Keselamatan Negara Tahun 2017.

Pun begitu, beliau memfokuskan mengenai kerjasama pertahanan antara negara terutama melibatkan negara-negara Islam di mana pergolakan di rantau negara berkaitan memerlukan bantuan kemanusiaan digerakkan secara tersusun.

Katanya, di sebalik persefahaman dan jalinan kerjasama telah diadakan antaranya dengan Arab Saudi, Pakistan dan Turki, namun hasrat sebenar Malaysia untuk mengkoordinasi misi berkaitan masih belum jelas.

Beliau turut menggesa untuk fungsi Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIKE) dan Majlis Industri Pertahanan Malaysia diperkasakan lebih agresif, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.

Kemukanya, usaha tersebut bukan ke arah peperangan, tetapi membangunkan industri pertahanan secara lebih kompetitif dan maju kerana kini banyak wang habis dilabur keluar, tetapi masih ketinggalan dari negara jiran. – HARAKAHDAILY 4/12/2019