PAS Teluk Intan anjur Mukhayyam Qiadi

IPOH: Lajnah Tarbiah PAS Kawasan Teluk Intan telah menganjurkan Mukhayyam Qiyadi melibatkan pimpinan PAS Kawasan, Dewan-dewan serta seluruh Cawangan bertempat di Kompleks Tarbiah Raudhatul Jannah (KOTARAJA), Meru, pada 30 November hingga 1 Disember lalu

Advertisement

Menurut Pengarah Mukhayyam, Mohd Rizal Abu Bakar, ia bertujuan mewujudkan wahdatul fikr di kalangan para petugas PAS Teluk Intan, disamping usaha menyuntik semangat juang serta menjadi wadah mempereratkan ukhuwah dan silaturahim antara sesama peserta.

Peserta telah mengikuti kertas kerja dibentangkan Naib Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Suhaimi Wafir bertajuk Islam Sebagai Ad-Din yang menekankan bahawa PAS meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan sebagaimana termaktub dalam fasa 3 Perlembagaan PAS.

“Dasar ini merupakan solusi kepada fahaman Sekularisme yang telah ditanam oleh penjajah pada sistem perundangan dan cara hidup rakyat di negara ini sejak dulu lagi,” terang beliau.

Turut membentangkan kertas kerja adalah Ahli Jawatan Kuasa PAS Kawasan Tambun, Ustaz Mohd Fariq Izwan Md Bahrin bertajuk Dakwah: Ciri-ciri dan Tuntutannya, dengan menekankan kewajiban berdakwah serta ciri-ciri yang perlu ada pada diri setiap pendakwah.

Manakala Yang DiPertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Faisal Abdul Rahman membentang tajuk Persiapan Para Duat mengupas tiga elemen penting perlu dipersiapkan dalam diri setiap anggota jemaah mencakupi persiapan keimanan, keilmuan dan kebendaan sebagai prasyarat kemenangan

Program dua hari satu malam ini turut diisi dengan acara riadah, kuliah, qiamullail, perbengkelan serta perasmian penutup oleh Yang DiPertua PAS Teluk Intan , Ustaz Ismail Che Nik. – HARAKAHDAILY 4/12/2019