‘Rupanya bukan sifat PAS begitu’

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang sedang menyampaikan Pidato Perdana: Bicara Ini Demi Perpaduan

SHAH ALAM: Penubuhan Muafakat Nasional antara PAS dan Umno adalah untuk menyatukan orang Melayu kerana Malaysia mesti dipimpin oleh orang Melayu beragama Islam.

Advertisement

Meskipun begitu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata orang bukan Melayu tidak beragama Islam tidak akan dipinggirkan kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk.

Buktinya, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, PAS meminta supaya calon MCA bertanding, walaupun menyedari majoriti pengundinya adalah orang Melayu.

“Apabila berlaku PRK Tanjung Piai, kami (PAS) dengan keras meminta supaya MCA bertanding di situ, walaupun pengundi majoriti Melayu kerana kita melihat seluruh Malaysia bukan Tanjung Piai sahaja.

“Rakan-rakan Umno bersama dengan kita bersepakat letak calon MCA dan kami turun berkempen berceramah bersama sehingga ada satu kenyataan daripada pemimpin MCA mengatakan bahawa selama ini kami mendapat gambaran yang sangat negatif tentang PAS.

“Rupanya bukan sifat PAS begitu, rupanya cermin ada kabus sehingga kami tidak nampak wajah yang sebenar, tetapi bila kami sapu cermin sehingga terang, baru nampak PAS yang sebenar, rupanya cermin yang menjadi pandangan silap,” katanya pada sesi Pidato Perdana: Bicara Ini Demi Perpaduan di Dewan Karangkraf malam tadi.

Ditanya pula adakah cermin itu kabur selepas PRK Tanjung Piai ataupun sudah gilap, dengan spontan Abdul Hadi menjawab “walaupun ada yang cuba kaburkan, tetapi kabus itu nipis tidak tebal macam dulu”.

Menurut Ahli Parlimen Marang, MCA selama ini takut bersama PAS kerana mendapat tekanan keras daripada DAP yang memberikan gambaran buruk terhadap PAS.

Jelasnya, mungkin ketakutan orang bukan Islam terhadap PAS disebabkan momokkan musuh-musuh Islam terhadap pendirian parti itu untuk melaksanakan hudud di negara ini.

Sedangkan katanya, hukuman hudud adalah untuk orang Islam sahaja tidak melibatkan orang bukan Islam. – HARAKAHDAILY 4/12/2019