Asnaf DUN Kubu Gajah perlu sumbangan sekolah

    LARUT: Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah membuka ruang kepada para dermawan bagi sama-sama membantu meringankan beban sebahagian penduduk DUN Kubu Gajah khususnya menjelang tahun 2020.

    Advertisement

    Tambahan pula dengan musim hujan masih berterusan dan belum nampak akan reda, menyebabkan persediaan tahun baru persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi sedikit terbantut.

    Sehubungan itu ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya menyeru para dermawan untuk turut menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan dalam meringankan beban mereka.

    “Penduduk di sini kebanyakannya bekerja sebagai petani dan penoreh getah yang tidak memungkinkan mereka dapat bekerja ketika ini di musim hujan dan juga menyukarkan mereka membuat persiapan selengkapnya.

    “Program kembali ke sekolah tahun 2020 mensasarkan 50 pelajar yang rata-rata berada di bawah paras kemiskinan B40 dan miskin tegar,” ujar Ustaz Khalil lagi. 

    Seorang ibu tunggal yang enggan namanya disiarkan ketika hadir sendiri bersama dengan dua anaknya ke Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah berkata, beliau belum membuat apa-apa persiapan persekolahan.

    “Kakak sekarang menumpang di rumah adik ipar sudah hampir tiga bulan, malah makan minum kami pun masih ditanggung,” rayunya ibu tunggal itu lagi.

    Nasibnya itu hanyalah secebis dari ribuan yang tampil untuk memohon pertolongan dan pastinya terdapat lebih ramai mengalami nasib yang sama memerlukan sumbangan berterusan.

    Justeru, diharapkan dengan sedikit bantuan yang diberikan mampu meringankan beban mereka dan anak-anak agar memperoleh pendidikan yang baik dan kelak mampu mengubah nasib keluarga berkenaan.

    “Bulat air kerana pembentung, teguhnya masyarakat kerana muafakat, marilah sama-sama kita berganding bahu bersama Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah membantu masyarakat,” ujar Ustaz Khalil lagi.

    Sumbangan amatlah dialu-alukan dan boleh dimasukkan terus ke akaun Maybank 158051911775 atas nama Dana Prihatin Kubu Gajah atau pun dengan menghubungi Pusat Khidmat DUN Kubu Gajah di talian 019-5494150 . – HARAKAHDAILY 5/12/2019