Gerak kerja PAS Terengganu inspirasi Muslimat Larut

LARUT: Dewan Muslimat PAS Kawasan Larut telah mengadakan jaulah ke negeri Terengganu dan Kelantan di samping mengisi tamrin yang bertujuan ke arah melahirkan kepimpinan Muslimat, baru-baru ini.

Advertisement

Penyertaan melibatkan Ahli Jawatankuasa Muslimat di peringkat Kawasan, HALWA DUN dan juga Cawangan dipimpin Ketua Penerangan Muslimat PAS Larut, Fairos Jaafar selaku Pengarah Program.

Menerusi jaulah yang disusun bersama Lajnah Tarbiyah dan Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Larut ini, peserta didedahkan langsung kepada pencapaian Kerajaan Negeri Terengganu di bawah teraju Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menerusi kunjungan ke Kediaman Rasmi Menteri Besar juga, peserta telah ditaklimatkan oleh Pegawai Urusetia Penerangan Darul Iman, Amarturrahman Mat Jaafar mengenai kejayaan di bawah slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Terengganu, Ustazah Maznah Muftahudin turut berkongsi gerak kerja dijalankan yang memberi manfaat serta suntikan semangat kepada para peserta jaulah.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan berjaya menunaikan 12 daripada 20 manifesto PRU14 lalu di mana dua lagi akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat, selain penekanan kepada peranan media baru dalam mendekati pengundi. – HARAKAHDAILY 5/12/2019