Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun

    Siti Zailah menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Chasi Apam Putra.

    KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir yang masih tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh Kelantan berkurangan kecuali di Pasir Mas dan Tumpat.

    Advertisement

    Sehingga sekarang sebanyak 18 PPS masih beroperasi bagi menempatkan 7,346 mangsa banjir di Rantau Panjang, Gual Periok, Lemal, Kubang Gadong, Bunut Susu dan Alor Pasir.

    Seramai 1,882 mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2, 1,698 di Sekolah Kebangsaan Gelang Mas dan 648 orang di Sekolah Kebangsaan Kedai Tanjong.

    Manakala 616 mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Sekolah Menengah Agama Pohon Buloh (558), Sekolah Menengah Agama Lati (439) dan Sekolah Menengah Agama Banggol Setol (433).

    Selain itu seramai 256 mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bakong, Sekolah Kebangsaan Gual Periok (216), Sekolah Kebangsaan Tok Deh (178) dan Sekolah Kebangsaan Kubang Kual (139).

    Menurut info portal ebanjir Kelantan, 81 mangsa banjir ditempatkan Dewan KRT Gual Sitok, Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang (57), Sekolah Menengah Agama Kampung Bonggor (51) dan Madrasah Putat Tujuh (39).

    Pada perkembangan sama, jajahan Tumpat turut menyaksikan trend tidak berubah iaitu seramai 3,177 masih ditempatkan di tujuh PPS yang mula dibuka sejak beberapa hari lalu.

    Seramai 632 mangsa banjir di Kampung Telok Jering, Kajang Sebidang, Cherang Melintang dan Jal Besar masih berkampung di Sekolah Kebangsaan Bunohan.

    Kawasan terbabit sebelum ini terkenal dengan kejadian ‘banjir termenung’ kerana air mengambil masa berminggu-minggu untuk surut memasuki semula Sungai Golok.

    Seramai 482 mangsa banjir ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 1, manakala 448 mangsa di Sekolah Kebangsaan Geting dan 432 di Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 2.

    Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 pula menempatkan 402 mangsa dan Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 1 (399) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat (382). – HARAKAHDAILY 5/12/2019