Rumah senget akibat banjir di Lata Rek

    Sungai di Chuchuh Puteri yang melimpah Ahad lalu.

    KUALA KRAI: Jumlah rumah yang terjejas akibat banjir di Dun Manek Urai masih di peringkat bancian Pusat Khidmat Dun Manek Urai.

    Advertisement

    Ketika banjir melanda Ahad lepas hampir 300 keluarga penduduk di Chuchuh Puteri, Sungai Sok dan Lata Rek berpindah ekoran rumah mereka dinaiki air.

    Di Chuchuh Puteri seramai 39 keluarga mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Chuchuh Puteri, manakala 50 lagi penduduk tidak berpindah ke PPS memandangkan kedudukannya agak jauh.

    Di Sungai Sok pula seramai 52 keluarga menjadi mangsa banjir. Dan paling ramai di Lata Rek melibatkan lebih 150 keluarga.

    Adun Manek Urai Mohd Fauzi Abdullah berkata, paling terjejas ekoran banjir baru-baru ini di Lata Rek kerana melibatkan lebih banyak rumah penduduk.

    “Berdasar bacian awal lebih 150 keluarga penduduk di Lata Rek terlibat dengan banjir. Bagaimanapun rumah yang terjejas akibat banjir masih lagi dalam bacian.

    “Berdasar tinjauan awal didapati ada rumah yang senget. Paling banyak rumah ditenggelami lumpur sehingga mengambil masa untuk dibersihkan,” katanya di sini.

    Beliau juga berkata, banjir yang melanda Kampung Chuchuh Puteri berlaku selepas Zohor di mana limpahan sungai berlaku kira-kira selama tiga jam.

    Kepala air dipercayai berpunca daripada Hutan Simpan Lata Rek dan bukit yang terletak berhampiran Kampung Keruak, Terengganu.

    Menurutnya jam 5 petang pada hari kejadian banjir sudah surut, namun arusnya begitu laju.

    “Sekarang gotong royong membersihkan rumah penduduk daripada lumpur sedang giatkan dijalankan agensi kerajaan dan sukarelawan. Pelancarannya dilakukan semalam di Chuchuh Puteri oleh anggota Exco Dr Izani Husin,” ujarnya.

    Beliau juga berkata, Pusat Khidmat Dun Manek Urai berusaha mengagihkan keperluan harian kepada penduduk yang terbabit dengan banjir. – HARAKAHDAILY 5/12/2019