Ketua Hakim Syarie K’tan meninggal dunia

KOTA BHARU: Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato’ Sri Paduka Raja, Daud Muhammad, 84, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), petang semalam.

Advertisement

Berita kematian pakar perundangan syariah itu tular di media sosial menyatakan allahyarham meninggal dunia pada jam 6.55 petang.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menerusi facebooknya mengucapkan takziah kepada keluarga dan seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan di atas pemergian allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak tahun 1989 dan penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 peringkat Kebangsaan.

Antara sumbangan Allahyarham ialah sebagai panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara, panel Hakim Mahkamah Rayuan, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Daud dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak 1989 hingga sekarang.

Semasa hayat, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Allahyarham juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hirah Peringkat Negeri Kelantan 2011 dan Anugerah Tokoh Syariah Jabatan Kehakiman Syariah 2011.

Allahyarham dilahirkan di Kota Bharu, mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab, Indera Putera, Bachok, Kelantan dan Madrasah Al-Falah, Makkah serta Saudi Al-Maahad Al-Ilmi, Al-Saudi, Makkah.

Semasa hayatnya Allahyarham banyak memberikan sumbangan antaranya menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara serta panel Hakim Mahkamah Rayuan.

Sementara itu allahyarham disembahyangkan di Masjid Sultan Mansor Kampung Sireh kira-kira pukul 10.30 malam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setia Budi, Kampung Aman, Lundang.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad, Timbalan Speaker, Dato’ Abdul Fattah Mahmood dan lain-lain pimpinan. – HARAKAHDAILY 7/12/2019