Allahyarham Najib permata AMAL mengadap Ilahi

    BUKIT GANTANG: Siapa menyangka tugasannya di program Liqa’ Fikri PAS Perak malam kelmarin merupakan sumbangan bakti terakhir anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Bukit Gantang, Allahyarham Muhammad Najib Muhammad Fikri.

    Advertisement

    Muhammad Najib,16 yang berasal dari Kampung Sungai Petai, dekat sini terbabit dalam satu kemalangan maut dengan sebuah motosikal kira-kira dua kilometer dari Markaz Tarbiah PAS Perak, Air Kuning.

    Beliau yang menunggang motosikal bersama adik kembarnya, Muhammad Nabil disahkan meninggal sewaktu dirawat di Hospital Taiping, manakala adiknya cedera parah di kepala dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Anak keempat daripada tujuh beradik ini menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Wan Ahmad Rasdi, Batu 9 dan bakal mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran  Malaysia (SPM) tahun hadapan.

    Terlibat aktif dengan kerja-kerja amal sejak usia muda, Najib dan Nabil yang tinggal sekampung dengan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Haji Ahmad sering terbabit dengan aktiviti surau di kampungnya serta program kepemudaan anjuran Pemuda PAS Bukit Gantang.

    Solat jenazah Allahyarham Najib disempurnakan di Surau Ahmadiah, Sungai Petai sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Changkat Ibol.

    Turut hadir, Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait dan Ustaz Hafez Sabri serta Pengarah Jabatan AMAL Negeri Perak, Abdul Karim Abdul Rasid dan Yang Dipertua PASBukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 8/12/2019