Komunis: Segerakan laporan siasatan, pendakwaan

PADA Isnin, 2 Disember lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta polis dapat segerakan laporan siasatan dalam minggu itu juga mengenai kes sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menganjurkan acara memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai di Kajang.

Advertisement

Begitu juga laporan siasatan mengenai kes membawa masuk abu mayat Chin Peng secara tidak sah ke negara ini yang sepatutnya amat perlu disegerakan kerana ia isu besar yang membabitkan kedaulatan undang-undang negara.

Hari ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, dalam wawancara BH Ahad bertajuk “Waspada Neo-Komunisme” sendiri mengakui sepertimana “di Indonesia ada Komunis Gaya Baharu kerana ada gerakan secara terbuka dan sulit untuk hidupkan balik semangat atau mimpi Parti Komunis Indonesia (PKI) dalam bentuk baharu”, “kita pun ada di Malaysia (gerakan begini)”.

Jika sebelum ini bekas ahli PKM bergantung kepada Tan Sri Abdul Rahim Noor untuk menghalalkan tindakan mereka berhimpun di Kajang dan membawa masuk abu mayat Chin Peng, kini mereka tidak boleh lagi berbuat begitu.

Mengenai tindakan berhimpun, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata ia tidak wajar dibuat: “Bekas ahli PKM tidak perlu mengadakan sambutan memperingati perjanjian damai. Bila buat sambutan seperti itu, mesti akan ada ucapan yang kandungannya tidak boleh diterima dalam kalangan keluarga mereka yang dibunuh.”

Mengenai tindakan membawa masuk abu mayat Chin Peng, Tan Sri Abdul Rahim Noor mengakui ada perlanggaran undang-undang di dalamnya dengan berkata: “Isu ini sensitif, sudahlah bawa balik abu, digembar-gembur buat publisiti, itulah silapnya. Mereka tersilap apabila bawa pulang abu Chin Peng secara tidak mematuhi peraturan, sedangkan kita ada peraturan meliputi aspek ini.”

Bersandarkan perkara ini maka sangat perlu laporan siasatan polis ke atas kedua-dua kes ini disegerakan dan pendakwaan dilakukan.

Ini selaras dengan kenyataan Tan Sri Abdul Rahim Noor hari ini bahawa “Rakyat Malaysia perlu bimbang terhadap usaha menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini”.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Ahad, 8 Disember 2019 | 11 Rabi’ulakhir 1441 – HARAKAHDAILY 8/12/2019