Buktikan 60% manifesto PH ditunaikan

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya membuktikan kenyataannya bahawa Pakatan Harapan (PH) sudah menunaikan 60 peratus daripada janji manifesto mereka.

Advertisement

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, sebagai seorang menteri perlu mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta yang sahih, bukan sekadar memetik nombor untuk melunakkan halwa telinga rakyat.

“Jika dilihat kepada 10 janji 100 hari yang merupakan 10 janji terpenting Pakatan Harapan pun, angka 60 peratus ini jauh daripada terlaksana.

“Pakatan Harapan sekadar mampu melaksanakan 3 janji iaitu menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak (separa gagal) dan KWSP untuk pasangan. Berdasarkan matematik mudah, 3 daripada 10 janji adalah 30 peratus, bukannya 60 peratus seperti dicanang Lim Guan Eng,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, berdasarkan 195 muka surat Buku Harapan yang mengandungi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebanyak 60 janji dicanang kepada rakyat, namun ia hanya tinggal janji dengan pelbagai alasan diberikan dan diletakkan kesalahan kepada kerajaan terdahulu.

Buktinya, anak muda terus ditipu dengan janji 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM2,500, manakala anak muda Sabah dan Sarawak dijanji 250,000 peluang pekerjaan serta penyiaran perlawanan bola sepak EPL percuma.

Justeru itu, kata beliau pihaknya sangat terkilan dengan kenyataan Lim Guan Eng yang terus menerus merendahkan intelek dan pemikiran rakyat Malaysia.

“Harus diingat, rakyat pada hari ini cakna politik dan mengikuti perkembangan pentadbiran Pakatan Harapan. Kenyataan 60 peratus janji Pakatan Harapan telah tertunai adalah kenyataan tidak bertanggungjawab seorang menteri,” jelasnya.

Terdahulu, Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata sebanyak 60 peratus daripada janji manifesto PH pada PRU-14 lalu telah dilaksanakan dan menyeru kepada rakyat agar memberi masa dan peluang kepada kerajaan bagi membetulkan masalah kewangan dan status ekonomi negara.

Senarai kegagalan manifesto PH:

  1. Mansuh GST – Janji ditunaikan. GST disifarkan. Namun banyak ketirisan berlaku dalam sistem percukaian SST yang dianggap sebagai langkah ke belakang.
  2. Menstabilkan harga petrol – Janji ini terdiri daripada dua komponen iaitu menstabilkan harga dan subsidi bersasar. Menstabilkan harga dilihat tertunai, tetapi pada 1 Januari 2020, ia akan diapungkan kembali. Memperkenalkan subsidi minyak bersasar pula masih belum dilaksanakan.
  3. Hapus hutang peneroka Felda – Gagal.
  4. KWSP untuk pasangan – Janji ditunaikan.
  5. Gaji minimum – Gagal. Manifesto PH untuk meningkatkan janji minima kepada RM1,500 sebulan. Proses dimulakan, namun tidak terlaksana.
  6. PTPTN – Gagal. Tidak menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000.
  7. Suruhanjaya Siasatan Diraja kes 1MDB, Felda, MARA, TH – Gagal.
  8. Jawatankuasa Perjanjian Malaysia – Gagal. Kabinet telah meluluskan pewujudan jawatankuasa tersebut, ahli-ahlinya masih belum dilantik.
  9. Skim kesihatan – Gagal.
  10. Projek mega – Gagal. MRT3 dibatalkan. HSR dan ECRL masih dalam perbincangan. – HARAKAHDAILY 9/12/2019