DO Kuala Krai meninggal dunia

    OLYMPUS DIGITAL CAMERA

    KUALA KRAI: Ketua Jajahan (DO) Kuala Krai Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) kira-kira jam 11.30 pagi dipercayai akibat serangan jantung.

    Advertisement

    Anggota Parlimen Kuala Krai Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, arwah dikatakan baru sampai di perkarangan pejabat di Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai ketika kejadian berlaku.

    “Berdasar maklumat kakitangan Pejabat Tanah terbabit Dr Nik Azlan mengalami kekejangan ketika sampai di perkarangan pejabat pagi tadi.

    “Berikutan itu pemandunya terus membawanya ke hospital dan didapati meninggal dunia sejurus selepas itu,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

    Pemandu Ketua Jajahan Kuala Krai Sazali Idris berkata, beliau mengambil arwah di rumahnya di Tanah Merah kira-kira jam 9 pagi tadi.

    Katanya sepanjang perjalanan ke pejabat arwah mengadu sakit di bahagian belakang kerana masalah gastrik.

    “Selepas sampai di Kediaman Rasmi Ketua Jajahan arwah berehat sekejap sebelum dibawa ke pejabat.

    “Namun selepas sampai di porch pejabat tiba-tiba arwah mengalami kekejangan dan saya terus membawanya ke hospital.

    “Namun sampai di hospital pegawai perubatan mengesahkan Ketua Jajahan meninggal dunia,” katanya.

    Laman media sosial Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai juga memaklumkan berita kematian Ketua Jajahan terbabit.

    Ustaz Abdul Latif merakam ucapan takziah kepada keluarga arwah di atas kematian pegawai kanan terbabit. – al Fatihah – HARAKAHDAILY 9/12/2019