Masalah integriti: Kedudukan Tommy perlu dikaji semula

PEGUAM Negara adalah satu jawatan amat besar dengan tugas utamanya untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dengan kuasa budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Disebabkan tugas amat penting dan kuasa amat luas inilah maka penjawat jawatan Peguam Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri, hendaklah dipastikan mempunyai integriti yang amat tinggi.

Malangnya integriti Peguam Negara sekarang, Tan Sri Tommy Thomas, kini boleh dipertikaikan setelah beliau:
(a)     Mengumumkan akan menarik balik keputusan Jabatan Peguam Negara  memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, dari tuduhan mendedahkan data perbankan dari akaun NFC setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelumnya.
(b)     Mengumumkan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawainya yang telah memfailkan rayuan tersebut kerana ‘insubordination’.
(c)     Menyatakan keputusan untuk tidak memfailkan rayuan tersebut dibuat selepas beliau berbincang dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Secara tiba-tiba sahaja setelah Tan Sri Azhar Azizan Harun membuat kenyataan bahawa beliau tidak pernah berbincang dengan Tan Sri Tommy Thomas mengenai kes Rafizi Ramli, Tan Sri Tommy Thomas pun mengakui beliau tidak berbincang dengan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengenainya.

Kenyataan Tan Sri Tommy Thomas yang membabitkan Tan Sri Azhar Azizan Harun, kemudian pernyataan di sebaliknya, tanpa sebarang pengakuan atas kesilapan, permohonan maaf kepada Tan Sri Azhar Azizan Harun atau tindakan kepada media jika media salah lapor, menunjukkan Tan Sri Tommy Thomas tidak mempunyai tahap integriti tinggi yang wajib ada pada seseorang Peguam Negara.

Ia juga menunjukkan Tan Sri Tommy Thomas sangat tidak cermat dalam melaksanakan tugas beliau di mana keadaan ini memungkinkan banyak kesilapan lain mungkin telah dilakukan oleh beliau pada masa lalu di samping banyak lagi kesilapan lain mungkin akan dilakukan oleh beliau pada masa depan.

Tindakan beliau menarik balik keputusan memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut pula adalah bercanggah dengan amalan lazim Jabatan Peguam Negara yang menimbulkan persoalan mengenai kemampuan beliau menegakkan keadilan ‘without fear or favour’.

Tindakan beliau mengumumkan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawainya yang telah memfailkan rayuan tersebut, yang dibuat serta-merta dan secara terbuka tanpa terlebih dahulu membuat siasatan dalaman, juga menunjukkan beliau tidak mampu memberi keadilan kepada pegawai-pegawainya.

Kesemua ini, di samping pelbagai kontroversi lain membabitkan beliau yang pernah timbul sebelum ini, menunjukkan keberadaan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara amat perlu dikaji semula oleh pihak berwajib.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus – HARAKAHDAILY 9/12/2019

Advertisement