Pemuda PAS berkunjung ke FOMCA

KETIKA sesi kunjungan kami ke Pejabat Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini, perkara pertama yang diberitahu kepada kami, PAS adalah satu-satunya parti politik yang datang mengunjungi pejabat FOMCA.

Ya. Memang itulah fakta yang diberitahu oleh En. Mohd Yusof Abdul Rahman (Timbalan Presiden FOMCA) kepada kami. Mengejutkan!

Ketika sesetengah parti politik lain sibuk dengan krisis dalaman, DPPM terus mara melangkah mencari penyelesaian isu-isu rakyat, melalui aspek kepenggunaan.

Selain bertujuan untuk menjalinkan hubungan dan mendalami isu-isu kepenggunaan, rombongan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) diketuai oleh Ir Khairil Nizam Khirudin mengadakan kunjungan ke Pejabat FOMCA juga bertujuan untuk menjadikan FOMCA sebagai rakan strategik DPPM bagi memperjuangkan hak-hak pengguna khususnya belia melalui saluran politik.

Selain daripada Ir Khairil Nizam Khirudin, turut menyertai kunjungan kami ialah saya sendiri, Muhd Khidhir Izaidin (Penolong Setiausaha), Nadzir Ibnu Helmi (Ketua Penerangan), Izwan Abdul Halim (Lajnah Kepenggunaan), Afiq Awang Bakar (Exco DPPM), Ikhwan (Presiden GAMIS) dan Ahmad Nawfal Mahfodz (Ketua Pemuda PAS Johor).

Perbincangan kami bersama pihak FOMCA antaranya menyentuh mengenai 3 isu yang kritikal. Isu tersebut ialah:-

1.      Isu pendidikan kewangan (financial education) dalam kalangan generasi muda;

2.     Isu polisi penjagaan kesihatan (health care policy); dan

3.     Isu harga barang yang semakin naik.

Selain mengikuti pembentangan daripada Dato’ Dr Paul Selva Raj (Setiausaha Agung FOMCA), kami turut memberikan buah fikiran dan cadangan solusi yang ada dalam Islam bagi mengatasi isu-isu berkaitan. Ia juga bertepatan dengan ciri penyelesaian Islam di dalam Budaya Politik Matang Sejahtera yang digagaskan PAS.

Ir Khairil Nizam Khirudin selaku Ketua Pemuda menyatakan bahawa, gabungan kepakaran profesional yang ada dalam DPPM dan pengalaman mendalam yang ada pada FOMCA, satu rangka penyelesaian isu-isu pengguna akan dihasilkan kelak untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Pertemuan yang berlangsung selama lebih 2 jam tersebut amat bermakna bagi kami. Terima kasih FOMCA kerana sudi menerima kunjungan kami dan sedia menjadi rakan strategik kami.

AFNAN HAMIMI
Pengguna sedar – HARAKAHDAILY 9/12/2019

Advertisement