Sukan SEA titik pertemuan bukan pencetus konflik

SUKAN SEA yang ke-30 sedang berlangsung di Filipina. Majlis pembukaan telah berlangsung pada 30 November lepas dan majlis penutup adalah pada 11 Disember ini.

Advertisement

Temasya kali ini melibatkan 56 jenis sukan dengan penyertaan 5,630 peserta dari 11 negara.

Sukan SEA atau South East Asian Games bermula dengan South East Asian Peninsular Games atau Sukan SEAP pada 12 hingga 17 Disember 1959 di Bangkok yang disertai oleh Thailand, Burma (sekarang Myanmar), Laos, Malaya (sekarang Malaysia), Vietnam Selatan (sebelum penyatuan Vietnam) dan Singapura (ketika itu belum lagi mencapai kemerdekaan).

Setahun sebelum itu para perwakilan negara-negara Asia Tenggara yang menghadiri Sukan Asia di Tokyo bersetuju agar satu persekutuan sukan ditubuhkan untuk Semenanjung Asia Tenggara. Semenanjung Asia Tenggara bermakna “tanah besar” Asia Tenggara tanpa Indonesia, Filipina dan Brunei.

Mereka menetapkan satu temasya sukan dianjurkan 2 tahun sekali dengan temasya pertama dilangsungkan di Bangkok.

Dato’ Iskandar Abdul Samad

Pada Sukan SEAP ke 8 di Thailand dalam tahun 1975, cadangan telah dibuat untuk melibatkan Indonesia, Filipina dan Brunei (ketika itu masih jajahan British).

Sukan SEAP tahun tersebut hanya melihat 4 negara mengambil bahagian iaitu Thailand, Malaysia, Burma dan Singapura. Negara-negara Vietnam Selatan, Kemboja dan Laos telah tidak mengambil bahagian akibat konflik yang melanda negara-negara itu.

Vietnam Selatan telah ditawan sepenuhnya oleh negara komunis Vietnam Utara dengan jatuhnya Bandaraya Saigon pada 30 April 1975.

Pada 17 April 1975, ibu negara Kemboja, Phnom Penh telah jatuh ke tangan gerila komunis Khmer Rouge pimpinan Pol Pot.

Kumpulan komunis Pathet Lao pula telah berjaya mengambil alih kuasa di Laos pada 2 Disember 1975.

Memandangkan perkembangan tersebut, temasya sukan dalam tahun 1977 di Kuala Lumpur bertukar menjadi Sukan SEA dan bukan lagi Sukan SEAP dengan penglibatan Indonesia, Filipina dan Brunei.

Keputusan untuk melibatkan 3 negara itu adalah tepat kerana temasya sukan tahun 1977 kembali meriah dengan 7 negara mengambil bahagian.

Walau bagaimanapun kehadiran negara-negara baru itu melihat Malaysia jatuh ke tangga ke 5 dalam senarai pungutan pingat. Pendatang baru Indonesia muncul juara dan Filipina tempat ketiga.

Sukan SEA hari ini tidak dicemari dengan sebarang kontroversi atau masalah besar. Masalah kemudahan yang tidak lengkap dan tidak memuaskan pada temasya tahun ini di Filipina adalah kecil berbanding dengan kontroversi dan masalah sebelum ini.

Selain dari 3 negara menarik diri dalam tahun 1975 akibat peperangan, Kemboja telah menarik diri dari temasya pertama akibat konflik dengan negara tuan rumah, Thailand.

Thailand telah mendakwa sebuah kuil yang bersejarah di Kemboja berada di dalam sempadan mereka dan telah menghantar tentera untuk mengawalnya. Kes ini telah dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa atau ICJ ( International Court Of Justice ) di The Hague, Belanda tetapi tuntutan Thailand telah ditolak.

Tindakbalas Kemboja adalah lebih agresif dari Malaysia apabila pemilikan Pulau Batu Putih dicabar oleh Singapura.

Temasya sukan ini pernah juga dibatalkan dan pernah juga dipindahkan.

Temasya ketiga tahun 1963 sepatutnya berlangsung di Kemboja tetapi negara itu menarik diri dan tidak ada temasya dilangsungkan.

Sementara temasya keempat tahun 1965 sepatutnya berlangsung di Laos tetapi negara itu telah menarik diri. Walau bagaimanapun Malaysia bersetuju menggantikan Laos sebagai tuan rumah.

Pada tahun-tahun awal temasya ini, Asia Tenggara sedang diancam komunis. Perang Vietnam sedang berlaku. Kemboja juga tidak stabil akibat perang tersebut. Malaysia berhadapan dengan pengganas komunis. Laos berhadapan dengan pemberontakan komunis.

Hari ini rantau ini berhadapan dengan anacaman yang berbeza iaitu sikap Komunis China yang begitu agresif mahu mengukuhkan kedudukan mereka di Laut China Selatan dan Asia Tenggara. Negara itu sejak beratus tahun memiliki cita-cita terhadap rantau ini.

Walau bagaimanapun negara-negara di Asia Tenggara memiliki sikap dan pendekatan yang berbeza terhadap kuasa besar itu. Oleh itu, sukan SEA boleh menjadi titik pertemuan bagi negara-negara tersebut. Tetapi isu-isu seperti para peserta terpaksa tidur di atas lantai atau bendera terbalik tidak wajar diperbesarkan.

Oleh: DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD – HARAKAHDAILY 9/12/2019