53 pelajar sertai Khatan Perdana Bukit Gantang

BUKIT GANTANG: Seramai 53 peserta menyertai program Khatan Perdana anjuran PAS Kawasan Bukit Gantang yang diadakan di Masjid Ahmadi, Changkat Ibol, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Program yang disertai oleh pelajar-pelajar sekolah rendah di sekitar Parlimen Bukit Gantang telah dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan dan Naib Yang Dipertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Zulkefly Ahmad dan Rahim Ismail serta Pengerusi Masjid Ahmadi, Ustaz Husin Ahmad.

Menurut Ustaz Faisal berkhatan adalah amalan sunnah di mana menjurus kepada penjagaan kebersihan dan kesihatan yang baik serta mensucikan diri kita sebelum melaksanakan ibadah.

“Pada tahun ini, kita bertuah kerana mendapat khidmat profesional daripada Sukarelawan Khatan Perpaduan Ummah Perak yang diselia oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Perak,” ujarnya. 

Seramai 11 tenaga sukarelawan dari PAPISMA Perak diketuai oleh Dr Awisul Islah Ghazali menjayakan program hari ini yang turut dibantu oleh ahli-ahli Jawatankuasa Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Bukit Gantang serta Jabatan Amal Malaysia (AMAL).

Majlis diserikan lagi dengan acara mandi beramai-ramai kepada para peserta dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping yang hadir bersama sebuah jentera dan tiga anggota. – HARAKAHDAILY 10/12/2019