Anak muda Malaysia lakar sejarah di Sukan SEA

Muncul Raja Pecut Asia Tenggara, juara keseluruhan badminton

ANAK muda Malaysia terus menyinar dan melakar pelbagai kejayaan di hari-hari terakhir Sukan SEA Manila 2019 dalam pelbagai acara yang masih berbaki dan akan ditutup secara rasminya malam esok amat membanggakan DACS Malaysia.

Paling mencuri tumpuan di Stadium New Clark City apabila atlit olahraga negara terus membutirkan pingat buat kontinjen negara khususnya anak muda semakin meningkat naik, Muhammad Haiqal Hanafi, 20 berjaya mempertahan pingat Emas acara 100 meter dan pingat Perak acara 4×100 meter.

Advertisement



Haiqal Hanafi dinobat sebagai Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu dengan catatan 10:35 saat walaupun belum berjaya mengatasi catatan masa terbaik 10:18 saat yang dimiliki oleh pemenang pingat Emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan, 21.

Pelari pecut negara yang berasal daripada Senawang, Negeri Sembilan turut mendapat suntikan semangat dan bimbingan teknik larian daripada Khairul Hafiz Jantan yang tidak dapat mempertahan gelaran tahun ini apabila tidak melepasi had kelayakan selepas kembali daripada kecederaan panjang.

Haiqal Hanafi turut berkongsi rahsia kejayaannya ketika ditemubual Wartawan Nadi Arena sebagai berkata, solat lima waktu, solat hajat sebelum tidur dan banyakkan berdoa kepada Allah mintak izin dimurah rezeki, bagi kemenangan tersebut.

Sikap dan kegigihannya wajar diteladani anak muda khususnya dalam membentuk jati diri dan semangat juang yang tinggi lebih-lebih lagi ketika mewakili negara dalam pelbagai kejohanan atau pertandingan yang menaikkan nama Malaysia di persada Antarabangsa.

Sementara itu, di hari-hari terakhir Sukan SEA Edisi Ke-30 tahun 2019 ini menceriakan kontinjen Malaysia apabila atlit badminton negara beraksi cemerlang menambah pungutan pingat ke arah menghampiri sasaran yang ditetapkan sebelum ini.

Kejayaan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, 21 dan perseorangan wanita, S. Kisona, 21 menamatkan penantian selama 46 tahun untuk meraih pingat Emas serentak dalam acara perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan SEA di samping satu lagi pingat Emas oleh pasangan beregu lelaki negara.

Kontinjen badminton Malaysia muncul Juara keseluruhan setelah mendapat 3 pingat Emas, 2 pingat Perak, 5 pingat Gangsa menjadikan pencapaian terbaik pasukan di Sukan SEA sejak tahun 1975 dan lebih membanggakan dibarisi pemain-pemain muda yang berpotensi.

DACS Malaysia menzahirkan ucapan tahniah buat semua atlit anak muda negara yang telah mengharumkan nama Malaysia dan berharap pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus mengenengahkan bakat anak muda yang berpotensi.

“Fit Is Sunnah”
“Sukan Satukan Kita”

HAFEZ SABRI
Ketua Pengarah
DACS Malaysia – HARAKAHDAILY 10/12/2019