‘Back to School’ Bintulu bantu ringankan beban

BINTULU: Muslimat PAS Kawasan Bintulu telah menyempurnakan menganjurkan program Back to School bersama komuniti setempat, kelmarin.

Program bersifat kebajikan ini telah memilih 12 keluarga miskin di sekitar Bintulu untuk membeli-belah di Pasaraya Sing Kwong Medan, di sini.

Program ini bertujuan membantu semua penerima dalam mengadakan persiapan untuk anak-anak mereka ke sekolah pada tahun hadapan.

Ketua Muslimat PAS Bintulu, Fatimah Junaidi turut hadir membantu melancarkan perjalanan program dan menyantuni para penerima sumbangan.

“Semoga dengan sedikit sumbangan daripada PAS Bintulu ini, dapat menjadi pemula untuk adik-adik lebih bersemangat mengikut sesi pembelajaran pada tahun hadapan seterusnya dapat menjadi orang yang berjaya pada agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Rata-rata penerima melahirkan rasa gembira dengan program ini kerana sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban penjaga dalam persediaan ke sekolah.

Program diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan sesama ahli PAS dan masyarakat. – HARAKAHDAILY 10/12/2019

Advertisement