Bazar Amal konsep ‘beri dan ambil’

    PAYA BESAR: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Kawasan Paya Besar telah mengadakan Bazar Amal bertempat di Balai Islam Darussalam, Permatang Badak, di sini kelmarin dahulu.

    Advertisement

    Program ini dilaksanakan bagi memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan serta memupuk sifat pemurah dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat serta mengizzahkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam syumul melalui kerja-kerja kebajikan.

    Program ini berkonsepkan ‘beri dan ambil sesuatu’ iaitu sesiapa sahaja boleh meletakkan barang terpakai tetapi masih baik dan boleh mengambil barang di situ secara percuma, di mana disediakan tabung bagi individu yang hendak infaq berbentuk duit.

    Turut hadir bagi memberi sokongan program ini ialah Ketua Muslimat Ustazah Norzilah Husin serta Ahli-ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Paya Besar sebagai petugas.

    Bazar Amal ini juga bersempena dengan program Khatan Perdana PAS Paya Besar yang diadakan di situ di mana antara barangannya ialah pakaian baru, pakaian terpakai, tudung, barangan elektrik, keperluan harian dan lain-lain.

    Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Paya Besar, Sabariah Muda berkata, program seperti ini dapat membantu orang memberi serta orang yang memerlukan memenuhi keperluan mereka.

    “InsyaaAllah akan buat lagi akan datang dan akan membantu sesiapa yang ada barangan terpakai untuk bersedekah kepada orang ramai,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2019