Bersedia berhadapan kerencaman masa depan

GENERASI Z

(1)     PRU 15 akan menjelang bila-bila masa. Semata-mata memikirkan bilakah tarikhnya adalah buang masa. Kerana kita tidak berkuasa pun untuk tentukan tarikhnya.

Apabila kita tidak tahu bilakah tarikhnya, maka kita perlu siapkan persediaannya. Apa guna kalau siang malam meratibkan kemungkinan tarikhnya kalau tiada persediaan?

(2)     Antara hikmah Allah S.W.T menyembunyikan tarikh kemenangan, tarikh kematian atau tarikh kiamat ialah menjadikan manusia itu bersedia menghadapinya.

(3)     Apabila kita meneliti laporan RAND Corporatioan, kita akan dapati bahawa mereka telah bersedia untuk merancang propaganda Salafi-Jihadis bagi generasi baru iaitu Generasi Z.

Menunjukkan bahawa Barat sudah bersedia berhadapan era tersebut. Ada kajian menunjukkan bahawa Generasi Z bermula dengan kelahiran pada 1995.

(4)     Kajian RAND Corporation mengatakan bahawa Gen Z adalah mereka yang lahir antara 1997 hingga 2012. Dalam artikel saya sebelum ini saya ada menghuraikan secara ringkas mengenai Gen Z.

Generasi ini yang dikenali sebagai golongan yang hidup di alam maya dan padang bola mereka adalah maya. Generasi yang membina intelektual dengan menggunakan globalisasi.

Golongan yang berdiri atas ilmu dan hujah bukan di atas sentimen dan assabiyah. Mereka memerhati dan berfikir. Bukan sekadar gimik dan populis.

Persediaan kita bagaimana?

(1)     Jika kita lihat pengundi dalam pilihan raya ke-14 kita akan dapati bahawa Generasi Z sudah pun mula mengundi. PRU14 juga menyaksikan kebangkitan golongan muda.

Iaitu golongan muda yang tertipu dengan permainan media. Mengapakah mereka mudah tertipu? Ini kerana mereka telah tenggelam dalam alam maya.

(2)     Sepertimana yang saya nyatakan, RAND Corporation mengkaji hal ini dalam laporan bertajuk Defining and Understanding the Next Generation of Salafi-Jihadis.

Laporan yang bertarikh Ogos 2019 ini menceritakan bagaimana kaedah untuk mencernakan propaganda Salafi Jihadis untuk Generasi Z. Sebagai isyarat mereka telah bersedia ke arah itu.

(3)     Dalam laporan ini menyatakan;

Apa yang penting, Generasi Z membezakan dirinya dari generasi sebelumnya, dengan keunikannya yang unik dengan teknologi yang telah memberi kesan mendalam untuk interaksi sosial mereka, kognisi, pembangunan psikologi, dan pandangan mereka terhadap dunia.

(4)     Bagaimana pula dengan PRU15 yang didominasi oleh Generasi Z? Sejauh manakah kita bersedia berhadapan dengan pengundi PRU15 yang dikatakan seawal 18 tahun?

Generasi yang berinteraksi dengan maya yang dahagakan ilmu dan hujjah. Jika gerakan Islam lambat bertindak untuk bersaing dalam pasaran idealogi anak muda, bimbang akan kalah.

(5)     Media-media kita bukanlah masalah dari segi likers, atau followers. Akan tetapi problemnya adalah ‘content’ atau apa yang dimuatkan di dalamnya.

Kalau contentnya hanya sekadar menghukum dan melabel, kaedah ini memberi isyarat tidak mesra Generasi Z. Mereka perlukan hujah kenapa label itu diberikan.

Kerencaman masa depan

(1)     Generasi baru ini memperhatikan gelagat beberapa golongan tua yang berbahas di medan politik seperti di sarkas. Menjadikan mereka semakin muak dengan politik kepartian.

Bimbang juga sekiranya fenomena di Tunisia baru-baru ini ‘menjadi’ di Malaysia. Apabila Presidennya yang baru naik, bukan atas nama parti. Tetapi atas nama sendiri.

(2)     Maka, survival jamaah pada masa depan akan terkandas jika tidak mengubah rentak. Seolah-olah generasi masa depan lebih suka cara إنتماء شخصي secara global.

Yang dimaksudkan dengan إنتماء شخصي ialah keterikatan seseorang dengan jamaah itu bukan lagi disebabkan matlamat perjuangan. Akan tetapi disebabkan ketokohan atau ikon.

(3)     Apatah lagi generasi hari ini sudah pun muak dengan politik kepartian. Bahkan dibahaskan juga di peringkat nasional mengenai ‘kami setuju politik, tetapi kami tak setuju parti’

Fenomena yang dipentaskan melalui medium akademik ini seolah-olah cuba membawa Generasi Z pada masa depan ke arah dunia yang lebih rencam, Sekular yang lebih halus.

(4)     Jika ditanya kepada saya, bagaimana cara untuk menang PRU15? Cukupkah sekadar bermuafakat atau berpakat? Saya cenderung untuk mengatakan ‘keperluan menguasai ilmu’.

Ilmu apa yang perlu dikuasai? Jawapan saya ialah Ilmu idealogi (pemikiran). Menguasai rentak aliran pemikiran semasa, supaya kita mampu mengesan permasalahan dan berhujjah

Minda lasak

(1)     Kita sering lihat pakatan di sebelah sana, saban hari menaburkan tipu. Dalam Parlimen pun boleh jadi pentas penipuan. Cakap tak benar itu menjadi perkara biasa.

(2)     Bagaimana pula dengan kita? Cukup sucikah kita daripada kesilapan yang menyebabkan generasi masa depan lari daripada kita? Fikirkan bahawa Generasi Z bukan lagi generasi yang memboikot, melabel, mencantas dan menghukum.

Akan tetapi mereka inginkan lapangan itu dibuka, dan masing-masing bebas bersaing idealogi di medan langit yang terbuka. Mereka menganggap tiada siapa yang berhak menutup langit itu.

(3)     Perbahasan santai sambil makan angin, bukan lagi menjadi selera generasi masa depan. Mereka dahagakan perbahasan yang berat dan ilmiyyah.

Generasi yang hauskan kelasakan minda. ‘Orang-orang tua’ yang beranggapan kanak-kanak tak perlu perbahasan yang berat, hakikatnya salah.

(4)     Apa tindakan kita daripada sekarang? Cernakan ilmu idealogi di kalangan ahli gerakan Islam. Cukup-cukuplah bermain dengan troll dan ejekan semata-mata.

Laraskan radar yang mengesan jenis idealogi serta berhujjah selaras dengan nadanya. Bertempurlah dengan akal kecerdikan bukan dengan sentimen perkauman.

(5)     Budayakanlah ilmu dan sandaran fakta, bukan lagi dengan ‘saya rasa, saya rasa’ yang tidak mesra dengan logik. ‘Saya rasa’ hanyalah andaian yang tidak berpijak di atas hujjah.

Antara kelemahan yang perlu dipost-mortermkan ialah ketidak-pandaian kita ‘bermain’ dalam perang idealogi. Sama ada ia kebetulan, atau memang projek pembodohan itu dirancang.

Projek pembodohan

(1)     Apa yang terjadi di era zaman kegelapan kurun ke 4-14 Masihi perlu diambil pengajaran. Projek pembodohan ialah apabila masyarakat cuba ditutup mata daripada kebenaran.

Kenapakah wujudnya Reinassance di era 15-17? Antara faktornya ialah mereka tertekan hidup dalam era kegelapan selama 1000 tahun di bawah pemerintahan bergereja.

(2)     Era tersebut menyaksikan bagaimana proses pembodohan dilakukan oleh gereja kepada masyarakat awam. Mereka tidak dibenarkan untuk mendalami mengenai idealogi dan falsafah.

Sesiapa yang ‘cerdik’ akan dijatuhkan hukuman bunuh, seperti disiat kulit, disalib dan ada yang dibakar hidup hidup. Atas alasan mereka telah ‘murtad’.

Antaranya ialah pengikut Martin Luther (1483-1546) yang cuba membawa pembaharuan terhadap kejumudan Kristian Katholik sejak sekian lama.

(3)     Tomas Cranmer, Nicholas Ridley dan Hugh Latimer, merupakan tiga orang paderi dan cendekiawan Kristian yang hebat pada kurun yang ke-16.

Mereka bertiga mengkritik ketahyulan ajaran-ajaran Kristian yang dibawa oleh gereja Katholik, yang didakwa tiada sandaran dalil yang sah dalam Bible.

Akhirnya ketiga-tiga orang tokoh ini diisytiharkan ‘murtad’ oleh gereja dan dijatuhkan hukum dibakar hidup-hidup pada 1555/56 di Oxford.

(4)     Suasana pertentangan antara idealogi (pemikiran) dan Kristian cukup dahsyat. Pertembungan ini akan muncul sekali lagi jika Islam itu diajar cara Kristian yang melarang umatnya berfikir. – HARAKAHDAILY 11/12/2019

Advertisement