Kuasa besar Peguam Negara wajib dikurangkan

PADA 17 Mac 2016, Transparency International-Malaysia telah mengeluarkan kenyataan media yang mendesak Peguam Negara memberi penjelasan mengenai keputusan beliau untuk tidak membuat pendakwaan khususnya bila melibatkan kes berprofil tinggi.

Pada 25 Mei 2018 pula, Majlis Peguam Malaysia telah memuatnaikkan satu tulisan yang mendesak Peguam Negara memberi penjelasan mengenai sebab-sebab mengapa beliau tidak mahu meneruskan siasatan atau pendakwaan ke atas seseorang individu.

Semua desakan ini berbangkit kerana Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa budi bicara tidak terbatas kepada Peguam Negara untuk “memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan…”.

Dalam tulisan di majalah INSAF keluaran Ogos 1983, Peguam Negara sekarang, Tan Sri Tommy Thomas, menyatakan Perkara 145 (3) ini menjadikan Peguam Negara individu paling berkuasa di Malaysia, mengatasi Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Sebab itulah Tan Sri Tommy Thomas waktu itu mendesak pihak berkuasa mengambil langkah segera bagi mengurangkan kuasa Peguam Negara supaya doktrin pengasingan kuasa dapat dikembalikan kerana “power corrupts and absolute power corrupts absolutely”.

Bagaimanapun, setelah Tan Sri Tommy Thomas menjadi Peguam Negara beliau terus mabuk kuasa dan lupa dengan kata-kata beliau dulu, menggunakan sepenuhnya kuasa budi bicara tidak terbatas ini tanpa memberi sebarang penjelasan mengenai segala keputusan beliau.

Termasuklah di dalamnya adalah keputusan untuk menarik balik pendakwaan kes rasuah ke atas Lim Guan Eng dan Phang Li Koon yang mengejutkan Perdana Menteri dan SPRM pada 3 September 2018, dan terbaru keputusan untuk menarik balik rayuan kes Rafizi Ramli.

Oleh itu, PAS mendesak Tan Sri Tommy Thomas supaya insaf dan mengingat kembali kata-kata beliau dulu dan mengambil langkah segera bagi memulakan usaha untuk mengurangkan kuasa Peguam Negara supaya doktrin pengasingan kuasa benar-benar dikembalikan.

PAS juga menyeru parti-parti politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bangkit mendesak Kerajaan Pakatan Harapan segera meminda Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, dan Seksyen 376 (1) Kanun Prosedur Jenayah.

Ini amat penting bagi memastikan kuasa budi bicara tidak terbatas Peguam Negara tidak terus disalah guna, supaya Peguam Negara mempunyai pertanggungjawaban ke atas setiap keputusan yang dibuat oleh beliau dan supaya keadilan akan dilihat dapat terlaksana.

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
11 Disember 2019 | 14 Rabiulakhir 1441 – HARAKAHDAILY 11/12/2019

Advertisement