GENERASI agih bantuan kemanusiaan mangsa banjir

    KEMAMAN: Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI) Terengganu berjaya menggerakkan pasukan bagi mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana banjir di 13 tanah rancangan FELDA di negeri ini.

    Advertisement

    Pengerusi GENERASI Terengganu, Mohd Rusman Rani berkata, tugasan berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari, bermula dari FELDA Neram 1 di bahagian Selatan hingga FELDA Tenang, di Utara.

    “Bantuan kemanusiaan amat diperlukan untuk mangsa banjir khususnya barangan keperluan asas seharian dan gerak kerja serta bantuan pemulihan pasca banjir.

    “Kami juga berjaya mengenalpasti kawasan FELDA yang terjejas teruk dan ini memudahkan membuat persediaan bila berlakunya banjir serta bantuan yang patut diberikan.

    “Keadaan cuaca masih tidak menentu, musim tengkujuh sebegini sememangnya memerlukan perhatian. Banjir boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

    “GENERASI berjaya mengumpulkan dana bantuan dari orang ramai dan kemudian menyalurkan pula kepada mereka yang memerlukan di tanah rancangan,” kata beliau.

    Beliau juga mengharapkan program sebegini dapat dijadikan contoh kepada orang lain dan bukan dilakukan kerana publisiti semata-mata.

    “Setiap kerja kebajikan yang kami lakukan adalah kerana Allah dan atas dasar tanggungjawab menolong dan membantu sesama manusia,” ujar Mohd Rusman lagi. – HARAKAHDAILY 12/12/2019