Idealogi: Perpecahan umat Islam

HADIS Nabi S.A.W

(1)     Realiti akhir zaman menggambarkan kepada kita bahawa ia adalah zaman perpecahan Umat Islam. Realiti ini pernah disebut oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam banyak hadis nya.

Antaranya;

Advertisement



عن أنس قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن بنى إسرائيل تفرقت على إحدى وسبعين فرقة فهلكت سبعون فرقة وخلصت فرقة واحدة وإن أمتى ستفترق على اثنتين وسبعين فرقة وتخلص فرقة قيل يا رسول الله من تلك الفرقة قال الجماعة الجماعة ( رواه أحمد )

“Dari Anas bin Malik berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sungguh Bani Israil telah terpecah menjadi tujuh puluh satu kelompok, kemudian tujuh puluh kelompok di antaranya binasa, dan satu kelompok yang selamat, dan sungguh umatku akan terpecah menjadi tujuh puluh dua kelompok, hanya satu kelompok yang selamat.” Dikatakan: wahai Rasulullah S.A.W, siapa kelompok (yang selamat) tersebut?, beliau menjawab: “(yang berpegang teguh pada) jama’ah jama’ah.””

(HR. Ahmad)



(2)     Abdullah Ibn Mas’ud menukilkan:



الجماعة ما وفق الحق ولو وحدك

“Jamaah itu apa yang selari dengan kebenaran sekalipun kau keseorangan”



(3)     Di sana banyak huraian yang menceritakan tentang faktor-faktor perpecahan Umat Islam antaranya ialah disebabkan idealogi. ‘Refer’ kepada sejarah-sejarah Umat Islam yang panjang.

Iaitu kemunculan Muktazilah, Murji’ah, Syi’ah dan sebagainya mengikut tafsiran para ulamak. Walau bagaimanapun apa yang jelas adalah perpecahan.

(4)     Perpecahan yang dimaksudkan tadi ialah perselisihan idealogi, yang membawa kepada peperangan. Kita tidak dapat nafikan bahawa awal kemunculan mereka adalah berbeza-beza.

Contohnya Syi’ah dan Khawarij muncul disebabkan isu politik. Muktazilah dan Murji’ah pula muncul sebab terkesan dengan idealogi Yunan.

(5)     Walau bagaimanapun ini cuma satu gambaran perpecahan zaman tersebut. Hari ini idealogi itu berkembang. Menggambarkan betapa berseliratnya perpecahan itu.

Perpecahan Idealogi

(1)     Kita lihat hari ini umat Islam telah diserang dengan pelbagai idealogi sama ada idealogi itu munculnya sejak zaman Abbasiyah ataupun yang terjangkit dari Barat.

Era pemerintahan Abbasiyah 750 hingga 1260 menyaksikan bahawa umat Islam ada yang terkesan dengan idealogi ahli Falsafah Yunani terdahulu.

(2)     Sepertimana yang telah saya ceritakan sebelum ini idealogi ketika itu antaranya Muktazilah, Jahmiyyah dan Murji’ah. kerumitan idealogi ini menyebabkan kemunculan ilmuan Islam.

Antaranya Imam Abu Hasan al-Asy’ari, Imam Tohawi, Imam Abu Mansur al Maturidi dan ramai lagi. Masing-masing bertempur bersenjatakan idealogi Islam berhadapan idealogi Yunani.

(3)     Dalam artikel yang lain juga saya ada menceritakan bahawa idealogi yang digagaskan oleh ahli Falsafah Yunani terdahulu bukanlah semuanya sesat, bahkan ada yang selari dengan Islam itu sendiri.

(4)     Iraq yang merupakan tempat suburnya idealogi Yunani ketika itu telah melahirkan ramai tokoh ilmuan Islam. Antaranya Imam Abu Hanifah yang merupakan pengasas mazhab.

Tokoh ilmuan Islam ketika itu berentap untuk mempertahankan prinsip Islam berhadapan dengan idealogi-ideologi songsang di zaman mereka.

(5)     Dalam masa yang sama zaman tersebut juga menyaksikan ada dari kalangan umat Islam yang terkesan dengan kezuhudan yang meninggalkan realiti semasa.

Kezuhudan atau kesufian mereka walaupun ciri-cirinya luarannya agak sama dengan Sufi Moderate pada hari ini akan tetapi idealoginya berbeza.

Pertembungan yang berselirat

(1)     Hari ini umat Islam berhadapan dengan krisis perpecahan yang cukup banyak. Seolah-olah benar seperti mana Sabdaan Nabi S.A.W yang menyatakan bahawa umat Islam itu terpecah menjadi 72 puak.

Hari ini kita saksikan bagaimana umat Islam di seluruh dunia menganut pelbagai fahaman dan idealogi yang berbeza-beza sekalipun masing-masing mendabik dada bahawa mereka itu adalah Islam yang benar.

(2)     Contohnya di Turki wujudnya gerakan Sufi Moderat atau dikenali sebagai Sufi Sekular. Sufi cara Sekular ini memperjuangkan nilai-nilai keperibadian.

Contohnya dosa peribadi dan amalan-amalan harian dikira secara peribadi. Idealogi seperti ini dilihat turut disuntik oleh penggerak-penggerak Liberal di Malaysia.

(3)     Selain daripada itu umat Islam juga dijangkiti dengan idealogi Liberal, Sekular, Sosialis, Kapitalis dan banyak lagi. Tak pelik sekiranya ada orang Islam yang berminat dengan DAP.

Muslim Moderate yang wujud pada hari ini juga dilihat senada dengan Liberal. Bahkan penulisan penulisan mereka jelas bertentangan dengan idealogi Islam.

(4)     Golongan tradisionalis pula memperjuangkan cara mereka dan beranggapan mereka adalah di pihak yang benar. Mereka beranggapan orang-orang Islam Fundamentalis telah tersilap.

Sebahagian tradisionalis juga ada yang terkesan dengan Sekularisme. Begitulah contoh betapa berseliratnya perpecahan umat Islam di seluruh dunia pada hari ini.

Isu prinsip pun berpecah

(1)     Umat Islam yang terkesan dengan Materialism, rata-rata berminat mengamalkan Kapitalism. Mereka melihat inilah cara yang terbaik untuk mengekalkan kekayaan.

Ahli politik dari kalangan orang Islam ada yang terjebak dengan pragmatik dan realism. Ada juga yang lebih cenderung dengan Modenism.

(2)     Hakikatnya banyak lagi pecahan-pecahan idealogi yang berselirat untuk dikirakan di sini. Masing-masing merasakan idealogi mereka betul dan tepat dengan Islam

Tidak pelik jika kita lihat dalam satu-satu isu umat Islam akan berbeza pandangan. Sekalipun isu tersebut adalah isu prinsip masih lagi wujudnya perselisihan.

Sedangkan dalam isu prinsip sepatutnya umat Islam itu perlu bersatu. Tetapi disebabkan idealogi yang melatari itu berbeza, maka umat Islam itu berpecah dalam berhadapan dengan isu-isu prinsip.

(3)     Contoh yang paling mudah apabila munculnya isu LGBT, berapa ramai yang menentang, berapa ramai yang menyokong dan berapa ramai penguasa-penguasa Islam yang memperjuangkan agenda LGBT ini.

Lihat pula dalam isu arak. Ada yang menentang arak, ada yang mempertahankan arak, ada yang buat-buat tidak tahu dan ada yang menjaga periuk nasi.

(4)     Ini sebagai isyarat menunjukkan bahawa umat Islam itu sedang berpecah. Masing-masing tidak merujuk pesanan Allah di dalam al-Quran;



یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِی شَیۡءࣲ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِیلًا

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(An-Nisa: 59)



Alasan

(1)     Di dalam ayat 59 Surah an-Nisa yang dinyatakan tadi menceritakan tentang bagaimana menguruskan perselisihan atau konflik. Iaitu perlu kembali kepada al-Quran dan Hadis.

Bukannya kembali kepada emosi, sentimen perkauman dan ketaksuban. Kerana sentimen itu akan menyemarakkan lagi perpecahan di kalangan umat.

(2)     Ada dari kalangan umat Islam yang bersedia berkhidmat menjadi keldai tunggangan Amerika. Ada pula yang tak sedar ditunggangi disebabkan ketidak-pekaan terhadap perancangan Barat.

Ada yang sengaja meninggalkan sunnah Nabi S.A.W berpolitik atas alasan kotor. Nabi S.A.W mengajar umatnya berpolitik tetapi umat Islam hari ini ada yang menolak politik.

Alasan yang diberikan adalah politik itu kotor. Sedangkan zaman Nabi S.A.W  juga politik Yahudi zaman itu juga kotor. Golongan ini boleh dikatakan terkesan dengan Sekularisme.

(3)     Ada juga yang mengatakan bahawa kami terlibat dengan politik tetapi bukan politik kepartian. Kita perlu faham bahawa parti itu hanyalah wasilah untuk melaksanakan agenda jamaah.

lalu golongan yang menolak kepartian itu hidup bersendirian seolah-olah menyangka bahawa kebenaran dan intelektual itu hanya ada pada dirinya sahaja.

(4)     Sepatutnya orang ini perlu kembali kepada Hadis Nabi S.A.W yang menceritakan kewajiban berjamaah, dan mencela orang-orang yang lari daripada jamaah.

Semua ini merupakan gambaran terhadap berseliratnya perpecahan umat Islam akhir zaman. Bilangan yang ramai bukan lagi menjadi ukuran apabila semuanya hanya ibarat buih di lautan. – HARAKAHDAILY 12/12/2019