PAS Perak lancar kempen puasa sunat Isnin, Khamis

    TAIPING: PAS bukan sekadar parti politik yang terus kekal istiqamah memperjuang Islam di Malaysia, tetapi turut menjayakan agenda tarbiyah dan dakwah ke arah memastikan umat menjadikan Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh.

    Advertisement

    Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh PAS yang turut memberi penekanan kepada ahli melazimi Sunnah Rasulullah S.A.W serta mengajak masyarakat menjalani kehidupan yang sihat antaranya melalui ibadah puasa.

    “Selain mengeratkan ukhuwah silaturahim kempen bertemakan ‘Puasa Menyihatkan‘ akan terus diuar-uarkan kepada umum untuk turut melibatkan masyarakat Islam setempat serta berkongsi ilmu kelebihan ibadah puasa sunat dalam Syariat Islam.

    “Amalan puasa sunat Isnin dan Khamis ini dihidupkan kembali kempennya secara meluas seluruh negeri Perak bagi memperkukuh jati diri ahli jemaah,” ujar Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri Perak, Ustaz Abu Bakar Hussin.

    Lajnah Dakwah PAS Perak menghidupkan amalan jamaei puasa sunat dengan melancarkan ‘Kempen Jom Puasa Sunat Isnin dan Khamis‘ peringkat Negeri di Markaz Tarbiyyah PAS, Air Kuning, di sini, baru-baru ini.

    Acara tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dengan disaksikan bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib di hadapan semua pimpinan utama daripada 24 kawasan seluruh negeri.

    Ketika ditemui selepas itu, Razman berkata, ianya menjadi tuntutan ‘muwasafat tarbiyyah’ dan dakwah terhadap ahli-ahli PAS di semua peringkat khususnya di negeri Perak dan hendaklah diselia oleh Lajnah Dakwah PAS Kawasan-kawasan.

    Sementara itu, para pimpinan PAS Kawasan-kawasan menyambut baik dan memaklumkan sebahagian PAS Cawangan juga telah memulakan amalan sunat tersebut malah turut mendapat sumbangan juadah iftar jamaei yang ditaja orang perseorangan dan restoran berdekatan. – HARAKAHDAILY 12/12/2019