Siapa dalang sindiket warga China?

DALAM tempoh lebih kurang dalam 3 bulan, sudah 4 sindiket membabitkan warganegara China telah dibongkar oleh pihak berkuasa iaitu di Pulau Pinang, Cyberjaya, Sabah dan Ipoh. Namun sehingga kini, kita masih belum tahu siapakah dalang yang membawa masuk dan mengumpulkan semua warganegara China ini untuk menjalankan operasi-operasi jenayah di Malaysia.

Advertisement

Sukar sangatkah bagi pihak berkuasa mengenal pasti dalang kepada semua sindiket ini? Siapa warga tempatan yang bersekongkol atau sebenarnya ia membabitkan pihak yang berjawatan tinggi seperti yang berlaku dalam sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang? Yang menghairankan, sindiket-sindiket ini menggunakan premis-premis mewah sebagai pusat operasi mereka menunjukkan operasi yang begitu tersusun.

Sindiket yang membabitkan penangkapan berskala besar ini juga melibatkan ramai warganegara China yang memiliki dokumen perjalanan yang sah termasuk pas lawatan sosial. Laporan Ketua Audit Negara 2018 yang melaporkan wujudnya kelemahan dalaman yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) dan MyIMMs ketika proses di pintu masuk pelancong perlu disiasat untuk mengenal pasti jika wujud sebarang unsur pecah amanah.

Rakyat mahukan tindakan pantas daripada kerajaan untuk mengenal pasti dalang kepada kesemua sindiket ini. Tidak cukup dengan warganegara China ini ditangkap, perketatkan juga syarat Visa untuk mereka masuk ke Malaysia. Malaysia sudah tidak tenteram dengan kedatangan warganegara China ini atas tiket pelancong, kemudian menyalah gunakannya bagi menipu rakyat kita pula.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 12/12/2019