Benarkah Komunis pejuang kemerdekaan?

MUTAKHIR ini seperti ada satu gerakan untuk menghidupkan semula gagasan pemikiran (idealogi) yang dipelopori oleh Karl Marx di Malaysia. Yang terkini dianjurkan program-program tertentu untuk memperingati tokoh-tokoh pendukung idealogi ini malah wujud desakan untuk mengiktiraf mereka sebagai negarawan. Selain daripada itu, terdapat pula suara-suara yang mencadangkan supaya sejarah negara ini ditulis semula khususnya sejarah sebelum kemerdekaan. Kesemua ini sudah tentu menimbulkan persoalan tentang tujuan mengapa idealogi dan pendukung-pendukungnya perlu diiktiraf?

Parti Komunis Malaya (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 sebenarnya adalah antara pertubuhan yang mendukung idealogi Sosialisme Marxisme. Ia ditubuhkan untuk mewujudkan sebuah negara Sosialisme atau masyarakat Komunis di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Kewujudan PKM adalah kesinambungan daripada Parti Komunis Nanyang (NCP) yang telah ditubuhkan sebelumnya pada tahun 1925. Sekali gus fakta sejarah ini menafikan dakwaan Ahli Parlimen Padang Serai di Parlimen baru-baru ini, PKM ditubuhkan untuk menentang penjajahan Jepun.

Sesuatu yang ramai tidak menyedari, PKM pada peringkat awalnya dipengaruhi secara langsung oleh pengaruh Komunisme Russia dan kemudiannya Soviet Union melalui golongan revolusioner yang menganggotai Parti Koumintang China (CNP). Golongan revolusioner ini banyak dipengaruhi oleh Revolusi Sosialisme yang dipelopori oleh Lenin di Russia. Mereka kemudiannya telah disingkirkan dari CNP. Sebahagian golongan ini telah bermigrasi ke Asia Tenggara lalu menubuhkan NCP, di mana salah seorang pelopor yang penting ialah Ho Chi Minh dari Indo China.

Demi bergerak secara lebih berfokus dengan menumpukan kepada wilayah-wilayah yang lebih kecil, NCP ini telah dibubarkan menjadi parti-parti Komunis yang lebih mewakili wilayah kecil seperti Parti Komunis Indo China, Parti Komunis Thai dan juga di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura ditubuhkan PKM. Bermula daripada detik itu, PKM mula menumpukan usaha untuk menjadikan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura sebuah negara republik yang beridealogikan Sosialisme. Dengan pengertian lain, PKM berhasrat untuk menumbangkan Sistem Pemerintahan Beraja ketika itu.

Bagaimanapun, bila berlaku Perang Dunia Kedua pada tahun 1942, Soviet Union sendiri telah bersekutu dengan kuasa-kuasa Barat seperti Britain untuk menghadapi Jerman. Konflik antara Liberalisme dan Sosialisme dilupakan seketika untuk menghadapi Jerman. Demikian jugalah di Asia Tenggara, parti-parti Komunis ini telah bersekutu dengan Britain dan lain-lain kuasa Barat menghadapi Jepun yang berpihak kepada Jerman. Di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura, PKM atas nama Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) telah dibantu oleh tentera British untuk menghadapi Jepun.

Setelah selesai Perang Dunia Kedua, beberapa pemimpin PKM atau MPAJA telah diberi penghargaan oleh Britain termasuklah Chin Peng. Bagaimanapun, konflik antara blok Barat dan blok Timur telah bermula kembali, dan PKM telah sekali lagi mengangkat senjata untuk menubuhkan negara Sosialisme di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura. Gerakan mereka telah ditentang oleh Pejuang Islam dan Nasionalis Melayu yang mahu mempertahankan Sistem Pemerintahan Beraja, di samping mereka juga turut menuntut kemerdekaan dari penjajah Barat.

Berdasarkan hakikat sejarah tersebut adalah tidak benar sama sekali untuk menabalkan PKM sebagai pejuang kemerdekaan, kerana tujuan utama mereka bukanlah untuk memerdekakan negara sebaliknya untuk menjadikan negara ini sebuah Republik Sosialisme. Pada peringkat awal memang terdapat Pejuang Islam dan Nasionalis Melayu yang menganggap PKM sebagai rakan kerjasama, tetapi sebahagian besar mereka kemudiannya memisahkan diri dari bekerjasama dengan PKM apabila mula menyedari tujuan sebenar PKM. Mereka yang tidak memisahkan diri kemudian terus menjadi anggota PKM.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 13/12/2019

Advertisement