Ekonomi Malaysia: Cabaran dan peluang masih sama

TERTARIK apabila membaca laporan ekonomi yang diterbitkan oleh Bank Dunia berjudul “Malaysia Economic Monitor 2019: Making Ends Meet”.

Advertisement

Laporan yang dikeluarkan setiap tahun ini boleh dikira memberi gambaran yang komprehensif berkenaan isu-isu yang melingkari aspek makroekonomi dan mikroekonomi negara, khususnya tentang persekitaran ekonomi global, pertumbuhan ekonomi, kewangan kerajaan, prestasi pelaburan serta dayatahan isi rumah dan pengguna.

Selain menggariskan kedudukan dan cabaran ekonomi yang sedang dihadapi Malaysia, laporan tersebut turut mengemukakan prospek dan peluang yang boleh dimanfaatkan Malaysia dalam jangka pendek dan jangka panjang, antaranya:

  1. Ekonomi Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan positif pada tahun 2019, dan dijangka akan berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2020 (KDNK 4.5%).
  2. Hutang Kerajaan Persekutuan terus menunjukkan peningkatan (52.7% kepada KDNK) manakala pendapatan Kerajaan dijangka akan terus merosot (15.2% kepada KDNK) pada tahun 2020.
  3. Malaysia berhadapan dengan prestasi pelaburan luar yang lemah dan perlu meningkatkan keyakinan pelabur dan tahap dayasaing pelaburan, antaranya dengan menarik pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan bernilai tinggi, integrasi serantau dan insentif cukai yang menarik.
  4. Kadar pertumbuhan pendapatan yang perlahan di kalangan segmen berpendapatan-rendah (B40) dan golongan muda membentuk persepsi dikesampingkan (“left-behind”) dalam persaingan ekonomi.
  5. Semakin ramai rakyat Malaysia, khususnya yang tinggal di bandar beranggapan pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi, memaksa untuk membuat kerja sambilan bagi menambah pendapatan.
  6. Kenaikan harga barang secara umumnya masih stabil (IHP 2.6%), tetapi berbeza mengikut lokasi di seluruh negara dan menjejaskan kuasa beli di kalangan pengguna.
  7. Kenaikan gaji di kalangan pekerja bawahan dan golongan muda amat perlahan berbanding peningkatan kelayakan pendidikan, dan situasi ini boleh menjejaskan motivasi dan produktiviti ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
  8. Kebanyakan rakyat Malaysia, khususnya segmen berpendapatan-rendah (B40) tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dan menjadikan hutang sebagai sumber tambahan untuk menampung keperluan perbelanjaan harian.
  9. Tahap kemampuan untuk memiliki rumah semakin merosot dan mencapai tahap terlalu serius di seluruh negara (seriously unaffordable), khususnya kepada segmen berpendapatan di bawah RM5,000 sebulan.
  10. Strategi untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup memerlukan pendekatan jangka masa pendek dan sederhana serta perubahan struktural jangka masa panjang meliputi aspek subsidi, kawalan harga, kawalan bekalan, dan koordinasi pelbagai agensi kerajaan yang terlibat.
  11. Dalam jangka masa pendek, Kerajaan perlu menumpukan polisi ekonomi untuk meningkatkan dayatahan dan perlindungan kepada segmen yang mudah terjejas dengan risiko kewangan, meliputi segmen M40 dan B40 serta pengusaha industri kecil dan sederhana.
  12. Dalam jangka masa panjang, Kerajaan perlu menumpukan polisi ekonomi untuk meningkatkan keupayaan modal insan, peluang ekonomi kepada golongan wanita dan segmen bawahan untuk memastikan kemakmuran ekonomi dinikmati bersama.

Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa, Malaysia sedang berhadapan dengan cabaran ekonomi yang masih sama sejak sepuluh tahun yang lalu, namun masih ‘terkebelakang’ dalam memanfaatkan segala potensi dan peluang yang wujud di hadapan kita.

Pastinya mudah untuk kita menuding jari, salahkan kerajaan dahulu ataupun kerajaan hari ini. Namun secara relatifnya Malaysia akan terus ketinggalan dalam persaingan di peringkat ASEAN dan dunia, sekiranya kita tidak mengambil langkah drastik untuk melakukan perubahan bagi meningkatkan dayatahan dan dayasaing negara.

Lihatlah bagaimana Vietnam, Thailand dan Indonesia sudah mula menyaingi kita, manakala Singapura sudah jauh meninggalkan kita.

Apa yang dibimbangi adalah kita merasakan sudah letih berlari, namun sebenarnya kita hanya berlari di tempat yang masih sama.

  • Syahir Sulaiman, 13 Disember 2019 – HARAKAHDAILY 13/12/2019