Muslimat prihatin tragedi mangsa hilang di laut

    KEPALA BATAS: Kehilangan Muhamad Redzuwan Ahmad Shafie 21, mendapat simpati daripada Dewan Muslimat PAS Kawasan Kepala Batas yang mengadakan bacaan Yaasiin khusus buat mendoakan agar jasad mangsa ditemui semula dalam masa terdekat.

    Advertisement

    Majlis bacaan Yaasiin diadakan pada pagi semalam di Masjid Mini Haji Othman bersebelahan Jeti Kuala Muda yang menjadi pos kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara dan MARITIM Negeri Pulau Pinang.

    Turut hadir dalam program tersebut adalah ibu mangsa, Rokiah Sulong, 52, yang sedih dengan kehilangan anaknya iaitu merupakan pelajar lepasan Pusat Giat MARA Kuala Muda serta pernah belajar di Pondok Karangan, Kedah.

    Dalam tazkirah ringkas selepas bacaan Yaasiin, Ketua Muslimat PAS Kepala Batas, Ustazah Hasanah Idrus menyentuh mengenai persediaan yang perlu diambil tatkala manusia diuji dengan kesenangan mahupun kesempitan.

    Menurut beliau, manusia perlu mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah, tilawah al-Quran, beristighfar, berzikir dan bersabar sementara menunggu hikmah kesudahan di sebalik setiap ujian yang dihadapi itu.

    “Kita perlu bersabar sebagaimana Nabi Khidir meminta Nabi Musa bersabar menempuh beberapa ujian yang hikmahnya hanya diketahui setelah berakhirnya semua ujian itu.

    “Sebenarnya ujian Allah adalah untuk melihat hamba-Nya yang kembali datang kepada-Nya dalam keadaan redha dan beriman dengan qada’ qadar Allah iaitu rukun Islam yang keenam,” nasihat beliau kepada semua yang hadir.

    Sebelum daripada itu Muslimat Kepala Batas telah berkesempatan menyediakan sarapan pagi dan menghidang makanan kepada para petugas penyelamat di Jeti Kuala Muda.

    Para penyelamat yang terdiri daripada pihak MARITIM telah memulakan misi tinjauan mereka seawal jam 7 pagi dan pulang kembali pada jam 7 petang untuk menjalankan tinjauan di sekitar kawasan Mukah Head tempat mangsa dilaporkan hilang.

    Kawasan tersebut berada sejauh 12.2 batu nautika dari daratan dan mencecah 40 batu nautika atau kira-kira 3 jam perjalanan dari Jeti Kuala Muda.

    Mangsa dilaporkan hilang setelah terjatuh daripada bot akibat pukulan ombak besar pada jam 10.40 malam pada 10 Disember yang lalu ketika sedang merawai ikan Tenggiri, namun dua orang rakan lain terselamat. – HARAKAHDAILY 13/12/2019