Pemuda perlu zahir sokongan pada PDRM, ATM

KUALA KANGSAR: Pimpinan Pemuda PAS dan Umno perlu bersama mempertahan dan memberi sokongan kepada PDRM dan ATM yang bertungkus lumus menjalankn tugas mereka demi negara ini.

Advertisement

Ini berikutan realiti terjadi mutakhir ini di mana usaha wira-wira negara semakin dipandang sepi oleh Kerajaan PH yang mentadbir negara, sebaliknya membenarkan tindakan-tindakan bertentangan dari usaha dilaksanakan.

Antara bukti yang dapat dilihat, banyak kes-kes yang gugur, malah tidak selesai hingga ke hari ini biarpun PDRM telah menjalankan tugas dan siasatan mereka seperti kes pimpinan DAP terlibat dengan pengganas LTTE dan juga kes Allahyarham Adib yang dibunuh.

Kegusaran tersebut disuarakan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri di dalam Program Teh Tarik Session, ‘Sembang Oghang Kuale’ di Bukit Chandan, di sini kelmarin.

Kata beliau lagi, antara perkara lain yang perlu pimpinan Pemuda PAS dan Umno lakukan ialah merapatkan diri dengan anak-anak muda, di mana idea dan pandangan anak muda perlulah diberi perhatian dan tidak diperlekehkan.

Pimpinan Pemuda juga dinasihatkannya agar tidak menghentam atau menghukum anak-anak muda seperti menyindir mereka atas kesalahan mengundi dan memilih kerajaan yang banyak mengakibatkan kerosakan pentadbiran negara pada hari ini.

Beliau bersama dengan dua orang panel, iaitu Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid menyampaikan forum di hadapan penonton yang hadir.

Turut hadir, pimpinan-pimpinan PAS Kuala Kangsar dan Umno Kuala Kangsar di mana Pengarah Program anjuran Lajnah Penerangan, Affiz Syazreen Fazani berharap agar program ini akan diteruskan lagi akan datang. – HARAKAHDAILY 13/12/2019