Teh Tarik Session, temukan Pemuda PAS dan Umno

KUALA KANGSAR: Kuala Kangsar menempa sejarahnya tersendiri apabila Dewan Pemuda PAS menganjurkan ‘Program Teh Tarik Session’ yang menggabungkan panel-panel daripada PAS dan Umno.

Advertisement

PAS yang diwakili oleh Ketua Penerangan Perak, Ustaz Hafez Sabri dan juga Ketua Pemuda Kawasan Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam, manakala Umno diwakili oleh Ketua Pemuda Bahagian Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid.

Program berbentuk forum atau wacana ini membincangkan kesan daripada termeterainya Muafakat Nasional antara PAS dan Umno, bertempat di Kedai Epi, Bukit Chandan, di sini kelmarin.

Turut diulas oleh Ustaz Hafez, berkenaan sejarah PAS berkongsi kuasa dengan pelbagai parti sebelum ini, selain berkenaan suasana semasa yang begitu bertolak belakang berbanding kerajaan sebelum ini, di mana pelbagai musibah sosial yang melanda negara.

Ustaz Omar Adam pula menekankan pelbagai isu penghinaan terhadap Islam semakin menjadi-jadi pada ketika ini tanpa tindakan yang sewajarnya daripada pemerintah sekarang.

Turut dikongsikan bersama oleh Mustafa Shah ialah berkenaan dengan sejarah Komunis di Malaysia yang cuba dihidupkan kembali pada hari ini.

Program ini juga berjaya menghimpunkan ramai penduduk yang mahukan penjelasan berkenaan isu semasa di Malaysia di mana hampir 100 orang yang telah bersama tidak berganjak sehingga ke akhir program. – HARAKAHDAILY 13/12/2019