PROTAPAS bina generasi cintakan Islam

PARIT BUNTAR: Dewan Pemuda PAS dengan kerjasama Ameerah Kawasan Parit Buntar telah menganjurkan Program Tarbiyyah Anak PAS (PROTAPAS) di Pulara, Pecah Batu, Trong, di sini pada 13 Disember lalu dan berakhir semalam.

PROTAPAS bertemakan “Membina Generasi Cintakan Islam” dan bertujuan mendidik anak-anak ahli PAS supaya lebih mengenal Allah dan Islam ini telah mendapat penyertaan seramai 59 remaja.

Advertisement

Di samping itu, program sempena cuti persekolahan ini juga untuk mengukuhkan lagi pemahaman dan penghayatan terhadap konsep asas Islami seperti akidah, syariah dan akhlak Islamiyah.

Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar telah menyampaikan pengisian bertajuk Tasawwur Tarbiyyah Islam dan kepentingan dakwah serta ciri-cirinya.

Dalam program ini para peserta didedahkan dengan modul-modul dan latihan dalam kumpulan yang berteraskan Islam, serta aktiviti menarik seperti kawad kaki, memanah dan pertandingan explorace.

Penutup dan penyampaian sijil penyertaan telah disempurnakan oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Parit Buntar, Mohd Hayat Mokhtar yang menyifatkan PROTAPAS telah memberi ilmu dan pengalaman kepada peserta.

“Program ini juga dapat melonjakkan semangat para peserta untuk memperbaiki diri dan menjadi teladan kepada masyarakat di luar sana sekali gus melahirkan generasi yang cintakan Islam pada masa akan datang,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/12/2019